MUAFAKAT KEDAH

MEMACU KHIDMAT
MENDAYA MUAFAKAT

AMANAT 100 HARI PENTADBIRAN
DATO SERI AHMAD BASHAH B. MD HANIPAH
SELAKU YAB MENTERI BESAR KEDAH

22 MEI 2016

Sinopsis

Amanat 100 Hari Pentadbiran Dato’ Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah selaku Menteri Besar Kedah yang ke-12, memperincikan visi, misi, orientasi pentadbiran, agenda tindakan, penyataan harapan, seruan dan inisiatif polisi yang telah, sedang dan akan dilaksanakan di bawah kepimpinannya. Amanat turut menggariskan usaha penerusan program ekonomi berskala besar, diseimbangkan dengan gerakerja memacu potensi modal insan. Amanat ini dirangka sesuai dengan tuntutan masa yang berbaki dua tahun sebelum menjelangnya Pilihanraya Umum ke-14. Selain mengambilkira situasi dan cabaran persekitaran yang sedang dihadapi. Kesemua agenda tindakan berteraskan konsep ‘Muafakat Kedah’ sebagai terma rujukan. Bertujuan dihayati semua pihak. Ke arah membolehkan Kedah terus menjadi sebuah negeri berdaya saing di masa hadapan.

KANDUNGAN

1.0 Muqadimah
2.0 Mendepani Cabaran Kini
3.0 Memeta Visi, Menggerak Misi
:Muafakat Kedah

4.0 Orientasi Kepimpinan dan Pentadbiran
: Merakyatkan Perkhidmatan, Mendemokrasikan Pentadbiran

5.0 Kebitaraan Pembangunan Daerah

6.0 Mengupaya Sinergi Ekonomi

7.0 Membangun Potensi Modal Insan

8.0 Muafakat Mendaya Nikmat

9.0 Kesimpulan

Salam sejahtera, Salam 1Malaysia dan Salam Muafakat Kedah,

1.0 MUQADIMAH

1.1 Alhamdulilah, segala puji bagi Allah, kerana dengan izinnya dapat kita berhimpun di pagi ini dalam satu usaha kolektif ke arah menghadapi cabaran zaman. Dengan berbekalkan matlamat ‘Memacu Khidmat, Mendaya Muafakat’,

Sidang Hadirin Yang Dihormati Sekelian,
1.2 Izinkan saya, menggariskan halatuju dan visi Kerajaan Negeri Kedah. Selain membentangkan pendekatan serta agenda pelaksanaan untuk dijadikan rujukan semua. Mudah-mudahan, dapat membantu tugas kita selaku pemimpin, penjawat awam, penggerak Pertubuhan Bukan Kerajaan dan ketua masyarakat di peringkat akar umbi.

Para Hadirin Sekelian,

1.3 Allah Azza Wa Ja La berfirman di dalam kitab suci Al-Quran:

Maksudnya:

“Dan bertolong-tolonglah kamu kepada kebaikan dan takwa, dan janganlah kamu bertolongan dalam perkara dosa dan permusuhan, Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksanya”
(Al – Maidah (5): Ayat ke-2)

1.4 Implikasi ayat ini secara jelas menyeru umat manusia untuk bantu membantu di dalam kehidupan. Ayat ini, sekaligus dapat memberikan motivasi kepada kita semua dalam memikul amanah menguruskan organisasi dan negeri.

1.5 Maka dari itu, gabungan idea serta pertolongan dari semua pihak memainkan peranan yang cukup penting. Dalam hal inilah, Pasukan Muafakat Kedah, yakni kesemua saf yang sedang berada dihadapan saya wajar bersedia menghadapi segala isu dan cabaran.

2.0 MENDEPANI CABARAN KINI
Tuan-Tuan, Puan-puan yang dihormati sekelian,

2.1 Sensitiviti masyarakat mengharapkan urustadbir yang cekap. Pengurusan berintegriti selain dikurangkan karenah birokrasi. Pada masa kini, setiap isu begitu mudah diviralkan. Akibatnya, tanggungjawab kerajaan bukan sekadar berhadapan tuntutan pengundi dan rakyat. Namun terdedah pada ‘keganasan persepsi’. Apatah lagi dengan adanya 20 juta pelayar internet dengan 41 peratus pengguna memiliki akaun facebook, instagram dan aplikasi whats app.

2.2 Sehubungan dengan kemajuan dan revolusi teknologi maklumat, di pihak Kerajaan Negeri kita telah menyediakan wi-fi percuma dengan sistem percubaan dijalankan di Taman Jubli Emas. Aplikasi Kedah Apps pula telah tersedia dan boleh dimuat turun secara percuma untuk kemudahan informasi, aduan dan hebahan peluang pekerjaan. Inilah di antara lain kaedah yang digunakan kerajaan agar sistem pentadbirannya selaras dengan perkembangan semasa. Zaman ledakan maklumat yang menyatakan, ‘barangsiapa yang menguasai maklumat, dialah yang akan mendahului pesaingnya’.

2.3 Kesan letusan digital mengakibatkan lebih banyak cabaran ‘persepsi’ dan perang maklumat bakal berlaku. Oleh kerana itulah, rangka kerja perlu disusun rapi. Misi dan visi harus jelas. Agenda untuk rakyat wajar bersifat inklusif dan membawa manfaaat kepada semua. Justeru, tindakan harus disegerakan, kerana masa menjadi musuh utama. Dalam konteks Kedah, tiga tuntutan besar ingin kita penuhi.

3.0 MEMETA VISI, MENGGERAK MISI

3.1 Pertama, pentadbiran di peringkat negeri dan persekutuan perlu kekal dikemudi kerajaan sedia ada. Rasionalnya, bagi membolehkan dasar-dasar pembangunan yang sedang dilaksana tidak tergendala.

3.2 Kedua, usaha konsisten mensejahterakan hidup ‘rakyat’ bagi mencapai keadilan sosial. Komponen pelengkap ketiga ialah memaju ekonomi negeri, agar pencapaiannya setanding dengan negeri-negeri yang lain.

3.3 Bagi membolehkan visi dipenuhi, saya gariskan beberapa langkah pengisian. Dengan berpandukan konsep Muafakat Kedah, pendekatan tersebut merangkumi perkara seperti berikut:

A. Muafakat Sosial dan kemasyarakatan, bermakna pendekatan turun padang dijadikan amalan. Kaedah ini dapat membantu pemimpin politik, pegawai kerajaan dan penggerak NGO mendapat gambaran sebenar isu yang sedang dihadapi rakyat. Dengan yang demikian, pada setiap hari Ahad saya akan melakukan tinjauan walkabout di setiap daerah mengikut giliran. Bertujuan mengenalpasti projek terbengkalai dan halangan yang wujud sehingga menyebabkan pembangunan terbantut. Menerusi siri walkabout, audit pembangunan boleh dilakukan dan langkah penyelesaian segera diusahakan.
B. Muafakat ekonomi, bermaksud mengajak penyertaan pihak swasta, usahawan, pelabur serta ahli perniagaan untuk ikut serta memacu ekonomi negeri. Di pihak pentadbiran kerajaan pula, pendekatan mesra pelaburan dan usaha memudahkan syarat perniagaan wajib menjadi amalan.
C. Muafakat Pentadbiran, meliputi kerjasama erat, dan perkongsian idea, di antara pemimpin politik dengan perkhidmatan tadbir negeri dan Persekutuan. Sekaligus membolehkan usaha pembangunan, program sosio-ekonomi, pembangunan modal insan, dan aktiviti berkebajikan dapat dilaksanakan dengan baik. Dalam erti kata yang lain, semua pihak harus berganding bahu dan menjadikan penjawat awam sebagai rakan strategik. Bersikap Saling Melengkapi bukannya musuh untuk disaingi.
D. Muafakat Politik bermakna, parti politik yang mengetuai kerajaan mengamalkan sikap terbuka. Bersedia menerima pandangan dan input berguna. Di pihak pembangkang pula, peranan secara membina dapat dimainkan dengan mengurangkan politiking melampau.

10.0 ORIENTASI KEPIMPINAN DAN PENTADBIRAN
Hadirin-hadirat sekelian,
4.1 Langkah berikutnya adalah penerapan budaya kerja berprestasi tinggi. Melibatkan anggota EXCO, Perkhidmatan Tadbir Negeri (KCS), CEO Syarikat Berkaitan Negeri dan semua sektor berkepentingan. Terapan dibuat melalui penilaian prestasi secara berterusan. Sebagai contoh, KPI anggota EXCO dinilai 3 bulan sekali bermula Mac 2016. Ini merupakan arahan pentadbiran yang telah dikeluarkan pada 21 Febuari 2016 yang lalu.

4.2 Penilaian KPI turut dicadang diperluaskan meliputi ADUN BN, pegawai tinggi kerajaan, di samping keperluan pentadbiran di pelbagai peringkat mengadakan Town Hall Meeting pada setiap tahun. BPEN (Bahagian Perancang Ekonomi Negeri) diberi tanggungjawab selaku penyelaras sekteriat untuk membolehkan Town Hall Meeting mengambil tempat. Objektifnya, untuk menilai prestasi setiap jabatan.
MERAKYATKAN PERKHIDMATAN, MENDEMOKRASIKAN PENTADBIRAN
Tuan-Tuan, Puan-Puan yang dihormati sekelian,
4.3 Era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhir. Pendekatan elit dalam membuat keputusan sudah tidak lagi relevan. Sebaliknya, input dari bawah menjadi pilihan. Oleh yang demikian, pentadbiran kerajaan perlu lebih responsif dan pro-aktif. Tidak sekadar ‘menunggu aduan’, sebaliknya harus keluar mendekati isu untuk diambil tindakan.

4.4 Jika dibuat tinjauan di dalam akhbar, portal berita mahupun hebahan di media sosial, didapati peranan NGO menyelesaikan isu-isu melibatkan kepentingan rakyat agak lebih terkehadapan. Lantaran itulah, semasa sesi ramah mesra bersama NGO di Sungai Petani pada 16 April 2016, saya telah memutuskan penubuhan MAPAN (Majlis Permuafakatan NGO Kedah). Berperanan selaku rakan strategik kerajaan untuk membolehkan lebih banyak isu rakyat diketengahkan.

Hadirin-hadirat yang dihormati sekelian,
4.5 Ke arah membentuk sistem pentadbiran yang dinamik dan selari dengan tuntutan zaman, pintu pejabat perlu dibuka seluas-luasnya. Rasionalnya, untuk menjadikan pentadbiran di negeri ini bersifat merangkumi. Bagi maksud memenuhi tujuan tersebut suka dizahirkan penubuhan dua Panel Jawatankuasa.

4.6 Pertama, Panel Induk Perancang Dasar (PIPD) diketuai oleh Yang Berhormat Dato Wira Setiausaha Kerajaan Negeri, dan keanggotaanya melibatkan kesemua Pegawai Daerah, Pengarah Jabatan Negeri dan wakil agensi Persekutuan. Tugas utama, menggubal polisi penting kerajaan negeri. Kedua, Panel Pakar Penilai Dasar (PPPD) yang diwakili oleh intelektual, ilmuan dan pakar bidang industri, terlibat membuat kajian untuk meningkatkan lagi keberkesanan pelaksanaan dasar-dasar negeri.

4.7 Dalam usaha menggandakan khidmat di kalangan agensi dan jabatan ke arah menjuarai isu rakyat, setiap Khamis minggu kedua dalam setiap bulan dijadikan Hari Bertemu Pelanggan. Pejabat Menteri Besar sendiri akan turut terlibat melalui mekanisme dan model khusus. Dengan pendekatan sebegini, masyarakat dapat bertemu dengan pihak berkuasa secara langsung, tanpa sekatan temujanji sekaligus membantu menyelesaikan urusan dengan mudah dan cepat.

4.8 Khidmat yang diberi kepada pelanggan pula, harus mengambilkira kos pentadbiran supaya lebih efektif. Dengan memaksimakan penggunaan sumber dan dijaga kualiti produktiviti. Memahami asas ini, semasa perhimpunan bulanan bersama kakitangan Wisma Darul Aman tanggal 15 Mac yang lalu saya telah menyarankan agar majlis-majlis rasmi yang dianjurkan haruslah rasional perbelanjaanya dan dikurangkan aspek protokolnya.
5.0 KEMAJUAN PEMBANGUNAN DAERAH:
Hadirin-hadirat sekelian,
5.1 Selain peranan agensi dan jabatan, satu lagi institusi penting ialah Pejabat Daerah. 12 buah daerah yang sedia ada perlu disusun semula. Matlamatnya supaya perancangan pembangunan menjadi lebih dinamik selaras dengan perubahan semasa. Setiap daerah mempunyai kekuatan tersendiri untuk dimajukan. Dalam usaha menambah nilai ekonomi negeri, semua daerah disaran menjadi pusat pertumbuhan untuk mewujudkan kesan ekonomi limpahan. Secara tidak langsung, 134 buah mukim dan lebih 1,900 buah kampung akan turut beroleh nikmat.

5.2 Apa pentingnya kemajuan pembangunan daerah?. Apakah pula mekanisme yang terlibat untuk menjayakannya? Kemajuan pembangunan daerah boleh menyumbang kemajuan negeri secara holistik. Faktor penyumbang menerusi keupayaan merangka pembangunan dengan mengambilkira faktor demografi dan potensi yang dimiliki.

5.3 Selain, membuka penyertaan pelaburan swasta, khidmat sokongan NGO, masyarakat setempat dan tenaga pakar untuk merencana program ekonomi berasaskan konsep pengkhususan. Ini bermakna peranan institusi Pegawai Daerah menjadi cukup penting. Pejabat Daerah juga perlu dijadikan mini UTC, bertindak selaku penyelaras yang berupaya menjalankan pelbagai fungsi pentadbiran dan perkhidmatan.

5.4 Oleh itu, semua daerah perlu mewujudkan identiti tersendiri demi memudahkan plan pembangunan digerakkan. Sebagai contoh; Kubang Pasu yang menjadi tumpuan pusat pendidikan tinggi dan kemahiran, maka wujud kewajaran untuk menjadikan ianya sebagai Knowledge Valley of Kedah

5.5 Dalam hal ini, sukalah diumumkan bahawa Padang Terap-The Rubber City of Kedah telah dimuktamadkan pelaksanaanya; dengan peruntukan berjumlah RM320 juta dibiayai Kerajaan Pusat. Satu usaha yang membolehkan daerah berkenaan memiliki prospek ekonomi berskala makro. Demikianlah juga di daerah yang lain, tema setempat perlu menyusul agar fokus pembangunan mudah dikenalpasti.
6.0 MEMACU EKONOMI:
Tuan-Tuan, Puan-Puan yang dihormati sekelian,
6.1 Kedah adalah antara negeri miskin di Malaysia. Hutang terkumpul kerajaan Negeri semenjak Merdeka termasuk hutang yang disumbangkan oleh Pakatan Rakyat semasa mentadbir Kedah (2008-2013) kini mencecah RM2.3 bilion. Lebih 100,000 hektar tanah pertanian wajib dikekalkan sebagai ‘green area’ dan tidak boleh ditukar syarat untuk kegunaan komersial.

6.2 Tambahan 400, 000 hektar hutan simpan berfungsi sebagai kawasan tadahan. Tujuannya membolehkan empat buah empangan berfungsi serta melindungi hidupan flora dan fauna. Inilah pengorbanan yang selamanya ditanggung oleh kerajaan Kedah tanpa mendapat pampasan setimpal dari Kerajaan persekutuan.

6.3 Demikian juga bayaran pajakan Pulau Pinang serta Seberang Perai yang sama sekali tidak mencerminkan nilai semasa. Bekalan air mentah dari Sungai Muda pula berterusan mengalir secara percuma dan kemudiannya dimanfaatkan oleh negeri jiran. Dalam hal ini, menerusi hubungan baik negeri dan persekutuan, saya akan berusaha mengadakan proses rundingan agar pampasan yang wajar dapat dinikmati oleh Kedah di tahun-tahun mendatang.

Hadirin-hadirat yang dihormati sekelian,

6.4 Ekonomi negeri semenjak 3 dekad yang lalu sebahagian besarnya disumbangkan oleh sektor pertanian. Di era 80-an perikanan, pertanian, perhutanan menyumbang sejumlah 54% KDNK. Kini sektor industri, perkilangan dan pembuatan memainkan peranan signifikan dengan sumbangan mencecah 29%. Selain sektor perkhidmatan yang menjadi pemacu utama dengan menyumbang sebanyak 53.5% bagi tahun 2014-2015.

6.5 Asas pertumbuhan ekonomi negeri sebanyak 4 hingga 4.5% bagi tahun 2015 dijangka dapat dipertahankan untuk tahun 2016 meskipun berhadapan persekitaran yang sukar. Kita turut menyedari bahawa pendapatan negeri, sebahagian besarnya masih bergantung pada terimaan hasil cukai seperti cukai tanah dan cukai hasil pintu.

6.6 Oleh yang demikian, usaha berterusan wajib dipacu untuk menambah pendapatan negeri. Di antaranya, dengan memberi tumpuan terhadap sektor perkhidmatan pelancongan. Antara sub-sektor bidang yang dikenalpasti berpotensi ialah pelancongan kesihatan, arkeo, sejarah dan warisan. Pelancongan semulajadi, pelancongan pertanian selain pelancongan sedia ada yang berpusat di Pulau Langkawi.

6.7 Bagi menjayakan usaha ini; Tourism Kedah, BPEN, dan kesemua agensi pelancongan termasuklah masyarakat setempat disaran bergabung tenaga untuk mempromosi aset dan produk pelancongan bagi menggamit kehadiran pelancong. Dalam usaha memperkasa produk pelancongan berasaskan kekuatan setempat, Discover Kedah 2016 dicadang dilanjutkan sehingga 2017 dengan pengubahsuaian program yang lebih segar, menarik dan mempunyai nilai tambah.

Tuan-tuan, Puan-Puan yang dihormati sekelian,

6.8 Projek berskala besar di bawah inisiatif National Blue Ocean Strategy(NBOS) melibatkan KXP, Kedah AeroCity, Kedah Science Park, New Kedah Expressway, Taman Warisan Lembah Bujang yang mempunyai impak ekonomi berskala tinggi bakal diteruskan. Namun ubahsuai jika perlu dilakukan memandangkan ianya memakan belanja kewangan yang besar. Selain melibatkan komitmen Kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan dari segi perancangan, teknikal dan kelulusan.

6.9 Bagi projek yang sudah memasuki rangka persetujuan MOU, selain tersedia bajet dan hanya menunggu kelulusan teknikal dan juga komitmen pihak pelabur, ianya tetap diteruskan untuk pelaksanaan. Jika perlu penambahan pasti dilakukan, memandangkan impak dari projek berkenaan dapat mewujudkan kesan ekonomi berganda.

6.10 Selain dari itu, prospek bidang pertanian dalam membantu kemajuan ekonomi negeri tidak boleh diketepikan. Meskipun sumbangan sektor pertanian kepada KDNK berjumlah 14.5%, berbanding 40 tahun dahulu yang mewakili 54%,namun bentuk dan pendekatan pertanian perlu diubah. Pertanian komersial dan intensif bernilai tinggi perlu diberikan tumpuan.

6.11 Produk akhir dari bahan pertanian yang siap diproses mampu meletakkan negeri ini sebagai pengeluar hasil makanan. Dalam hal ini, Kedah bukan sahaja perlu kembali menjadi jelapang padi, malah harus berperanan selaku Jelapang Makanan Negara. Seluruh agensi berkaitan, termasuk komitmen petani, pertubuhan peladang, jabatan pertanian dan MADA perlu bermuafakat memainkan peranan. Hakikatnya dalam menuju transformasi negeri industri, kemajuan dan pengkomersialkan bidang pertanian tidak boleh diketepikan.

7.0 MEMBANGUN POTENSI MODAL INSAN
Hadirin-Hadirat Sekelian,
7.1 Cabaran semasa menunjukkan modal insan terbaik penentu kelangsungan negara. Tamadun bakal musnah jika jatidiri rakyat lemah. Kemajuan ekonomi menjadi sia-sia, jika masyarakatnya boros, hilang iman, ihsan, adab dan budi.

7.2 Maka yang ingin dilahirkan ialah generasi yang baik. Generasi yang hidupnya dihiasi dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah. Dalam surah Al-Furqaan, Allah menyebutkan mereka sebagai ‘ibaddurrahmaan’. Lantas,dalam usaha menuju ke arah ini, Maahad Tahfiz, Institusi Pondok,Pengajian Sains Hadis, Sekolah Agama Rakyat di seluruh negeri akan diberi perhatian. Demi membolehkan misi melahirkan dae’i, pewaris legasi ‘ulama’ dan ilmuan Islam menjadi realiti.

7.3 Komitmen kerajaan Negeri membantu institusi pondok, Sekolah Agama Rakyat dan Maahad Tahfiz tidak pernah berganjak, kerana menyedari pentingnya pendidikan agama ke arah membentuk insan berguna. Justeru itu,peruntukkan tahunan berjumlah RM110,000 telah disumbangkan untuk 11 buah pondok agama pada 17 Mei 2016 yang lalu. Selain peruntukkan berjumlah RM1, 711, 600.00 kepada semua pelajar asrama Sekolah Agama Rakyat di seluruh negeri Kedah bertujuan mengurangkan bebanan ibu bapa. Mulai tahun ini juga, elaun khas secara one-off kepada para Hafiz dan Hafizah anak negeri Kedah akan turut disediakan.

7.4 Menyedari fungsi pondok, Sekolah Agama Rakyat dan Maahad Tahfiz dalam konteks pembinaan insan, sukalah saya mengumumkan usaha menjadikan Kedah sebagai hub Maahad Tahfiz dan Pondok Pengajian Agama di Malaysia. Untuk memenuhi tujuan tersebut, mekanisme sesuai perlu difikirkan bagi membantu Maahad Tahfiz dan kesemua pondok pengajian supaya dapat bergerak secara lebih tersusun dalam menyediakan kemudahan pembelajaran dan pengajaran terbaik kepada pelajar. Hal ini turut meliputi penyediaan Dana Infra untuk pengurusan Pondok dan Tahfiz yang ditentukan kaedah pembiayaanya kemudian.

Tuan-tuan, puan-puan yang dihormati sekelian,

7.5 Strategi jangka panjang negeri Kedah bermatlamat untuk membentuk modal seimbang yang boleh memberi sumbangan kepada negeri dan negara amnya. Lantaran itu, pendedahan serta peluang wajar diberikan kepada generasi muda.

7.6 Sesuai dengan maksud tersebut, pada 8 Mei 2016 yang lalu ketika sesi santai bersama Mahasiswa Anak Kedah di Lembah Kelang, saya telah mengusulkan beberapa program dan pendekatan. Antaranya, Persatuan Mahasiswa Anak Kedah yang bernaung di bawah ANSAR disediakan insentif tahunan RM3,000 bagi membolehkan aktiviti berpesatuan dicambahkan.

7.7 Selain itu, ‘Internship Mahasiswa Anak Negeri’ atau ringkasnya IMAN diperkenalkan. Melibatkan latihan pengurusan kepada pelajar tahun akhir yang cemerlang, berketrampilan dari kalangan anak negeri untuk ditempatkan di pejabat saya sendiri. Di samping menjalani pendedahan pentadbiran di pejabat SUK, EXCO dan syarikat berkaitan negeri.

7.8 Dalam tempoh 6 bulan mana-mana calon yang layak setelah melalui tapisan dan prosedur boleh diserapkan ke dalam perkhidmatan yang sesuai termasuk skim Perkhidmatan Pegawai Tadbir Negeri (KCS). Melaui kaedah ini, usaha mencungkil penyambung legasi kepimpinan dapat dijayakan, kerana menyedari Masa Depan Kedah Bermula Hari ini.

7.9 Ke arah mengantarabangsakan lagi potensi anak muda negeri, supaya dapat melebarkan sayap menjadi ‘pemimpin global’, inisiatif turut diambil untuk menyediakan biasiswa penuh Kerajaan Negeri Kedah, kepada 5 orang penuntut yang mendapat tempat di universiti terkemuka dunia, sama ada MIT, Harvard, Oxford atau Cambridge. Pembiayaan penajaan dimulakan pada tahun ini, 2016.

8.0 KECEMERLANGAN PENDIDIKAN
Tuan-tuan, puan-puan yang dihormati sekelian,

7.10 Kecemerlangan pendidikan merupakan faktor penting untuk mencapai kemajuan dan mobiliti sosial. Usaha tanpa mengenal jemu di bidang ini harus diteruskan. Negeri Kedah untuk tempoh 3 tahun mendatang perlu menjadi antara negeri terbaik dalam pencapaian peperiksaan awam di Malaysia. Jabatan Pendidikan Negeri dengan gabungan muafakat sekolah, pentadbir, warga pendidik dan PIBG perlu mencari formula berkesan untuk mencapai impian tersebut. Di pihak Kerajaan negeri, ikhtiar diupaya untuk menyediakan ganjaran khas kepada pelajar yang beroleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PT3, SPM dan STPM.

7.11 Jika Trengganu boleh melakukannya, apa kurangnya Kedah? Sebagai langkah awal menuju hasrat tersebut, suka saya memaklumkan bahawa Pusat Tuisyen Barakah Kedah di bawah kendalian GPMS dijalankan serentak di kesemua 15 kawasan Parlimen. Setiap kawasan Parlimen diperuntukkan 40 pelajar di peringkat awal. Kesemua 600 pelajar ini diambil sebagai anak angkat saya, bagi membolehkan prestasi pencapaian akademik mereka dapat dinilai sepanjang masa.

7.12 Bagi pelajar atau Gen-Y yang kurang meminati bidang akademik dan lebih terdorong di bidang kemahiran, teknikal dan vokasional, program Padanan Industri Anak Muda Kedah boleh dijalankan dua kali setahun. Ini melibatkan padanan pencari kerja dengan industri kecil dan sederhana termasuk bidang binaan, perhotelan, teknologi, kejuruteraan, elektrik, otomatif yang beroperasi di Kedah melalui kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Pihak industri dan pencari pekerjaan dipertemukan bagi membolehkan temuduga dijalankan secara langsung. Sekaligus ribuan pelajar teknikal yang dilahirkan saban tahun dapat diserap dengan cepat ke bidang yang sesuai dengan kemahiran mereka.

Para Hadirin yang dihormati sekelian,

7.13 Hakikatnya potensi dan bakat yang dimiliki Gen-Y dan anak muda adalah berbeza. Dorongan diperlukan agar mereka dapat dibimbing ke dalam arus perdana pembangunan negeri. Memahami aspirasi anak muda yang gemarkan sukan lasak seperti drag-race dan sprint-test, Litar Lumba Rakyat yang selama ini ditunggu telah dimuktamadkan pembinaanya pada tahun ini. Jika Kampung Batu Gajah di Perak boleh melahirkan juara GP-3, Khairul Idham Pawi, bukan mustahil Kedah juga mampu mengeluarkan juaranya yang tersendiri.

7.14 Inilah antara sebab digubal ‘Agenda Anak Muda Kedah’ atau ringkasnya ANAK seperti diumumkan semasa pelancaran Sambutan Hari Belia Negara peringkat Negeri Kedah tanggal 7 Mei yang lalu. Agenda ini menekankan usaha menyalurkan kebolehan anak muda ke bidang yang bersesuaian dengan minat dan kebolehan mereka. Bantuan dana pengurusan berjumlah RM2, 000 setahun turut diberikan kepada semua Persatuan Belia yang aktif di Kedah bertujuan melatih dan menarik minat golongan ini untuk mempelajari kemahiran berpesatuan dan bersosialisasi.

7.15 Anak muda Kedah selaku pewaris masa depan sentiasa memerlukan bimbingan selain sokongan moral yang berterusan. Jika cabang sukan seperti bola sepak menjadi pilihan, maka bakat muda berpotensi digilap sepenuhnya menerusi latihan bersistematik. Dalam hal ini, suka saya mencetuskan, bahawa penubuhan Akademi Bola Sepak Dato Ahmad Basri atau singkatannya (ADAB) bakal diaktifkan semula. Bertujuan untuk melahirkan lebih ramai pemain berbakat sepertimana Badrol Bakhtiar dan Mohd Farhan Roslan. Inilah di antara upaya kerajaan untuk menjadikan sukan sebagai satu cabang industri dengan menyuntik nilai komersial yang boleh membawa keuntungan.

`8.0 MUAFAKAT MENDAYA NIKMAT
Hadirin-hadirat yang dihormati sekelian,
8.1 Selain fokus terhadap ekonomi, orientasi pentadbiran, kemajuan pembangunan daerah, kecemerlangan pendidikan, gilapan potensi modal insan serta peluang untuk anak muda, sektor masyarakat dalam kelompok B-40 dan masyarakat luar bandar perlu terus dibantu untuk dimajukan.

8.2 Dalam konteks inilah, strategi jangka pendeknya melibatkan usaha mengurangkan bebanan hidup yang dihadapi golongan berkenaan. Maka secara tangkas dan cepat, pelancaran ‘Skim Bantuan Rakyat Kedah’ atau ringkasnya BARAKAH telah disempurnakan pada 9 April 2016 yang lalu.

8.3 BARAKAH mempunyai serampang dua mata. Pertama, bertujuan mengurangkan bebanan rakyat. Kedua, membolehkan lebih ramai kelompok masyarakat menerima sumbangan dari agensi, jabatan, NGO, Syarikat Berkaitan Negeri (SLC) Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri menerusi konsep perkongsian strategik.

8.4 Kesan segera, 20,000 ketua keluarga telah beroleh nikmat. Ke arah melonjakkan lagi inisiatif sebegini, pentadbiran Kerajaan Negeri telah membahagikan program Barakah kepada lima komponen penting. Meliputi Barakah Insan, Barakah Kemasyarakatan, Barakah Anak Muda, Barakah Usahaniaga, Barakah Pendidikan dan Modal Insan. Apabila kesemua komponen Barakah ini dilaksanakan, disasarkan lebih 100,000 rakyat Kedah yang berpendapatan rendah dan sederhana mendapat manfaat dalam bentuk sumbangan dan bantuan yang pelbagai.

8.5 Pendekatan yang cukup simple, namun mempunyai kesan yang besar kepada masyarakat. Oleh yang demikian, program seperti ini pastinya menjadi agenda utama kerajaan negeri di masa hadapan.

8.6 Selain itu, usaha meringankan beban hidup masyarakat dengan kadar segera juga bakal diperluaskan melibatkan penyertaan NGO, syarikat korporat, Yayasan Kebajikan,individu, pertubuhan kebajikan, Jabatan Zakat, agar nikmat agihan boleh dikongsi dengan lebih meluas. Sekaligus meningkatkan lagi jaringan perlindungan sosial. Terbaru, kerajaan negeri telah memperkenalkan dua skim insentif untuk ibu dan OKU, menerusi Insentif Kelahiran Anak (IKA) dan Skim Insentif Pendaftaran OKU(SIP-OKU) yang telah dilancarkan pada 27 April yang lalu.

9.0 DASAR MUDAH DILAKSANA, HASIL CEPAT DIRASA
Hadirin-hadirat yang dihormati sekelian,
9.1 Pendekatan polisi yang berasaskan konsep ‘mudah dilaksana, hasilnya cepat dirasa’ wajar ditingkatkan. Biar dilihat kecil namun impaknya kuat ke atas masyarakat. Sehubungan dengan itu beberapa lagi langkah segera digerakkan dalam jangka waktu terdekat.

9.2 Pertama, dengan muafakat semua Pegawai Daerah, Penghulu Mukim dibantu oleh Pengerusi JKKK, usaha harus dipercepatkan untuk mengenalpasti isu-isu kemudahan asas dan awam yang masih belum diselesaikan.

9.3 Tempoh setahun bermula Mei tahun ini diberikan agar program membina dan menaik taraf kemudahan asas dan pembaikan dapat dimuktamadkan supaya tidak ada lagi isu lama yang berbangkit. Demikian juga isu berkaitan bekalan air, setiap aduan pengguna perlu tangkas ditangani untuk mengelakkan ianya berlanjutan membawa gerhana terhadap imej kerajaan.

9.4 Dalam usaha meningkatkan kesedaran sivik, penjagaan alam sekitar dan semangat gotong royong, semua PBT disetiap daerah dengan kerjasama AJK Masjid, Jabatan Bomba dan Penyelamat, pihak sekolah, PIBG dan masyarakat setempat disaran melakukan aktiviti gotong royong Muafakat Kedah sebulan sekali. Ini melibatkan tempat-tempat awam, dengan kos perbelanjaan ditanggung menerusi skim tanggungjawab sosial korporat oleh syarikat E-Idaman.

9.5 Persekitaran tempat tinggal yang bersih dan kondusif bukan sahaja mampu mengelakkan penyakit bawaan virus dan bakteria, malah aktiviti gotong-royong’ sebegini dapat memupuk sifat cintakan kebersihan dan menyuntik nilai-nilai murni di kalangan masyarakat.
Para Hadirin sekelian,
9.6 Untuk membantu rakyat beroleh pendapatan sampingan, kebenaran diberikan bagi anggota masyarakat untuk menjalankan kegiatan niaga secara kecil-kecilan di tempat yang sesuai dengan syarat piawaian kebersihan dipatuhi. Pihak PBT perlu memastikan kegiataan menjaja dibenarkan dengan caj minimum untuk bayaran lesen atau permit serta untuk perniagaan tertentu dikecualikan terus bayaran lesennya.

9.7 Di dalam usaha memperkasa fungsi masjid, semua masjid, diseru mengadakan program berterusan dan memperhebatkan aktiviti bukan sahaja sempena kedatangan Ramadhan yang bakal tiba, akan tetapi secara bersambungan dengan penglibatan masyarakat yang pelbagai. Sama ada kanak-kanak, golongan belia, wanita dan golongan tua. Fungsi masjid sebagai pusat kegiatan masyarakat harus dikembalikan kemurniannya. Usaha ini diselaraskan oleh JAIK dan MAIK sebagai urusetia induk dengan kerjasama AJK setiap masjid. Bagi agama-agama lain juga perlu menjayakan kegiatan keagamaan, serta didikan moral di tempat masing-masing

9.8 Masyarakat yang diterapkan dengan nilai agama yang kukuh akhirnya mampu menjadi sebuah masyarakat madani dan sivil yang kental, sekaligus keharmonian hidup di kalangan etnik dapat dibina.

Hadirin-hadirat yang dihormati sekelian,

9.9 Bagi mengukuhkan institusi keluarga sebagai teras kestabilan komuniti, kursus pra-perkahwinan percuma untuk belia berumur 21 tahun ke atas diteruskan. Kursus ini turut diselang selikan dengan kursus kemahiran keibubapaan, bagi membentuk ketua keluarga yang mampu mengendalikan keluarga dengan sikap sabar dan berhemah. JAIK dan MAIK berperanan di dalam mengambil tanggungjawab mengendalikan siri kursus sebegini.

9.10 Kemantapan institusi keluarga sudah pasti menjadi pendorong bagi terdidiknya anggota masyarakat yang bersikap penyayang. Indeks kebahagian sebegini secara tidak langsung boleh menyumbang kestabilan dan keharmonian negeri dalam jangka masa panjang.

9.11 Untuk golongan surirumah, pencari kerja, pesara, warga emas, ibu tunggal dan golongan yang ingin mencari tambahan pendapatan skim latihan E-Usahawan yang disediakan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia secara percuma. Pusat latihan ditentukan di kesemua Pusat Khidmat ADUN dan Ahli Parlimen. E-Usahawan merupakan satu inisiatif bertujuan menerapkan nilai dan ilmu keusahawanan digital di kalangan kalangan usahawan mikro yang sedia ada serta orang awam yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan.

9.12 Selain usaha berkenaan, kerajaan turut memahami isu kos sara hidup yang dialami oleh kakitangan awam kumpulan pertengahan dan bawahan. Sebagai menghargai komitmen besar kakitangan awam negeri yang terus kental menabur khidmat, TABUNG KEBAJIKAN WARGA ADMIN atau ringkasnya TAKWA diwujudkan dengan sumbangan permulaan dari kerajaan berjumlah RM100,000.

9.13 Tambahan sumbangan kepada tabung akan disalurkan dari keuntungan anak syarikat kerajaan negeri, selain sumbangan syarikat korporat dan organisasi perniagaan. Tujuan utama tabung ini membolehkan bantuan segera dihulurkan pada kakitangan awam peringkat rendah dan ahli keluarga mereka yang memerlukan biaya untuk menyambung pengajian ataupun ketika ditimpa musibah bencana alam, dan dilanda penyakit kronik yang memerlukan kos rawatan yang besar.

9.14 Ke arah melahirkan budaya hidup yang sihat dengan sukan menjadi kegiatan riadah dan aktiviti utama, SUKAN KEDAH DARUL AMAN (SUKDA) dihidupkan kembali. Sukan dwi tahunan ini diselenggara oleh Majlis Sukan Negeri dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Kedah.

9.15 Konsep dan pelaksanaan sukan ini tidaklah perlu melibatkan skima sepertimana mini olimpik dengan pelbagai acara dipertandingkan. Sebaliknya hanya memilih beberapa jenis sukan dengan penyertaan dari semua daerah mengikut peringkat umur dan dimestikan penyertaan pasukan melibatkan masyarakat berbilang kaum.

9.16 Kesan dari pengembalian SUKDA, diharap dapat memacu Kedah menjadi pengeluar atlit berbakat, berketrampilan yang dapat memberi sumbangan serta mengharumkan nama negeri. Selain boleh menjadikan sukan sebagai satu kerjaya profesional yang mendatangkan pendapatan lumayan.

Tuan-tuan, Puan-Puan yang dihormati sekelian,

9.17 Isu dasar yang berterusan menuntut pembaikan adalah keperluan perumahan khususnya rumah kos rendah. Permintaan kian meningkat walhal penyediaanya tidak mampu bertambah dengan cepat.

9.18 Sebagai langkah jangka pendek, unit-unit rumah transit atau perumahan PPR yang masih kosong perlu diisi segera dengan memberikan tawaran kepada senarai pemohon yang sudah menunggu begitu lama.

9.19 Dalam jangka pertengahan, kita mengharapkan Inisiatif Pelaburan Swasta dan kerjasama strategik bersama SPNB dan juga PRIMA selain anak syarikat kerajaan Negeri agar rumah mampu milik dan kos sederhana boleh dibangunkan di atas tanah milik kerajaan. Strategi jangka panjang, tentunya hasrat membina 6,000 unit rumah mampu milik setahun melalui gandingan bersama agensi Persekutuan demi memastikan setiap keluarga rakyat Kedah memiliki rumah sendiri.

10.0 KESIMPULAN
MENDAYA ‘ MUAFAKAT KEDAH’
Tuan-Tuan, Puan-Puan yang dihormati sekelian,
9.1 Muafakat Kedah, bukan sekadar satu slogan kosong sepertimana slogan lain. Visinya jelas, dan pengisian misi pula sedang bergerak pantas. Paling penting khidmat bakti kerajaan Barisan Nasional tetap diteruskan, walau ditohmah dan dicabar sepanjang zaman.

9.2 Yakinlah, jika semua pihak bermuafakat pasti segala kerja beroleh berkat.

Hadirin-hadirat yang dihormati sekelian,

9.3 Sejarah muafakat masyarakat Kedah bukan satu perkara baru. Ianya merupakan tradisi besar yang diwarisi zaman berzaman. Di era feudal, aktiviti penanaman padi sawah dijalankan secara sistem berderau.

9.4 Pada tahun 1885 sehingga1896, muafakat dalam skala yang besar telah berjaya dibuktikan. Melalui penyertaan golongan bangsawan, usahawan dan rakyat biasa, projek mega yang bernama Terusan Wan Muhammad Saman berjaya disiapkan. Kesannya masih boleh dilihat sehingga kini. Terusan buatan tangan sepanjang 36 kilometer itulah selama ratusan tahun berjasa mengairi kawasan pertanian, punca sumber minuman dan menjadi laluan sistem perhubungan.

9.5 Pada tahun 1957, muafakat yang dicetuskan oleh putera Raja dari Kedah, Almarhum Tunku Abdul Rahman telah berjaya merundingkan isu kemerdekaan bersama pimpinan kaum lain, sehingga negara beroleh kemerdekaan. Sekali lagi pada tahun 1963, cetusan muafakat, rundingan harmoni Almarhum Tunku bersama Temenggong Anak Jugah, Tun Datu Mustapha dan pemimpin yang lain berjaya menyatukan gagasan negara bangsa bernama Malaysia.

9.6 Jika tradisi kerajaan Kedah sejak terbinanya tamadun ini di awal kurun ke-7 dibina atas dasar muafakat, kenapa tidak di era kini prinsip yang sama kita amalkan?
Tuan-tuan, puan-puan yang dihormati sekelian,
9.7 Selaku ketua kerajaan, komitmen dan ikrar ingin saya zahirkan. Menjadi Menteri Besar bukanlah bertujuan mengejar populariti atau asyik dengan kuasa yang ada. Sama sekali hak rakyat tidak digadai, maruah kerajaan dan negeri tidak akan diperjudi.

9.8 Namun, prinsip yang menjadi pegangan saya ialah; khidmat mahu terus dipacu, muafakat di kalangan semua ingin dipadu. Percayalah!, Kedah mempunyai potensi yang besar yang boleh digilap demi kemajuan masa depan.

9.9 Jika percaya pada semangat kebersamaan, agenda besar pasti boleh digarap. Selaku Menteri Besar, saya bersama rakan EXCO dan seluruh pegawai tinggi kerajaan bertanggungjawab untuk membina agenda seperti berikut; Pertama, agihan ekonomi dan peluang peningkatan pendapatan yang meluas di kalangan rakyat.

9.10 Kedua, mengecilkan jurang sosio-ekonomi dan keciciran pendidikan. Ketiga, menurunkan peratus kemiskinan. Keempat, membentuk kerukunan hidup di kalangan masyarakat berbilang bangsa, agama dan budaya. Dan yang terakhirnya memastikan Barisan Nasional terus menjadi pilihan rakyat negeri Kedah untuk mengemudi kerajaan di masa akan datang.

9.11 Inilah komitmen dan kesungguhan pentadbiran kerajaan. Dengan ‘Muafakat Menjadi Amalan, Kedah yang Barakah akan terus terbangun menjadi sebuah negeri yang punyai arah tujuan. Kukuh jatidiri masyarakatnya, sihat dan berkembang ekonominya serta harmoni ikatan silaturahim di kalangan warganya.

9.12 Marilah bersama saya!, Kita sempurnakan amanah perjuangan sebuah bangsa. Membina KEDAH YANG GAGAH. Negeri yang dapat duduk sama rendah dan berdiri lebih tinggi dari negeri yang lain.

9.13 Akhir qalam, saya akhiri amanat ini dengan serangkap pantun Melayu lama. Mudah-mudahan dapat menjadi renungan dan iktibar untuk manfaat bersama.

‘Hendak belayar ke Teluk Betung
Sambil mencuba labuhkan Pukat
Bulat air kerana pembetung
Bulat Manusia Kerana Muafakat

Salam Muafakat Kedah,
Wabillah hil taufik walhidayah wasalam mualaikum warahmatullah hiwa barakatuh.

Leave a comment