VISI DAN MISI

Kerajaan negeri Kedah hari ini melancarkan Program Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) bagi memastikan setiap bantuan yang mahu diagihkan sampai terus kepada kumpulan sasar.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, setiap bantuan yang diperoleh akan diselaraskan di bawah Program Barakah yang mempunyai lima kategori supaya rakyat di negeri ini dapat memaksimumkan manfaatnya.

“Program ini dipecahkan kepada lima kategori iaitu Barakah Insan, Masyarakat, Usaha Niaga, Anak Muda dan Pendidikan serta Modal Insan supaya tumpuan untuk membantu rakyat negeri ini dapat diberikan secara terus kepada kumpulan sasar.

“Bukan sahaja bantuan kerajaan negeri, sumbangan mahupun pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan juga akan diletakkan di bawah Program Barakah kerana kita ingin memastikan tiada pertindihan dan memudahkan orang ramai mendapatkan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Barakah kepada Penoreh Getah dan Keluarga Miskin di Majlis Perbandaran Sungai Petani, di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Md. Rozai Shafian dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din.

Mengulas mengenai program tersebut, Ahmad Bashah berkata, menerusi Barakah Insan, kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta untuk memberikan bantuan sara hidup mengandungi kit makanan dan wang tunai sebanyak RM50 kepada 20,000 keluarga miskin dan penoreh getah.

“Walaupun nilai bantuan ini tidak banyak, namun kita mahu rakyat sedar bahawa kerajaan negeri sentiasa berusaha mengurangkan beban mereka berikutan peningkatan kos sara hidup dan kejatuhan harga getah pada masa ini.

“Hari ini, kita serahkan bantuan tersebut kepada 21 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional termasuk 15 penyelaras kawasan untuk diagihkan segera. Selain bantuan secara sekali beri, kita juga merancang memberi bantuan lain menerusi Program Barakah kepada penerima yang berbeza.

“Oleh itu, kita berharap setiap ADUN menyimpan rekod pe­nerima supaya penerima lain akan mendapat bantuan yang akan diberikan pada masa akan datang agar tidak berlaku pertindihan dan semua rakyat berpeluang merasai sumbangan yang diberikan,” ujarnya.

Leave a comment