#TsunamiPHitnah: Jangan Termakan Fitnah Dan Hasutan – Najib

Terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat, pembangkang menjalankan kempen dengan tidak henti-henti menabur fitnah dan menghasut serta menyalahkan Barisan Nasional (BN) tanpa sebarang bukti yang sahih, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi BN itu berkata daripada hari pertama kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), mereka terus melancarkan #TsunamiPhitnah kononnya BN berkomplot dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menggagalkan pendaftaran calon Pakatan Harapan (PH), walhal calon mereka yang sebenarnya gagal membuat persiapan sebaiknya.

“PH sering menyalahkan BN bagi setiap kegagalan mereka walaupun ia tidak ada kaitan dengan kita. Setiap kegagalan Pakatan
Harapan disalahkan kepada Barisan Nasional walaupun ia berpunca daripada mereka sendiri,” katanya dalam catatan di blog NajibRazak.com hari ini.

Najib berkata puak pembangkang menggunakan platform media sosial untuk menagih simpati dan memperdayakan rakyat mengenai keadaan sebenar, dengan #TsunamiPHitnah begitu ghairah disebarkan menerusi laman media sosial dan medium komunikasi seperti WhatsApp.

Beliau memberikan contoh foto beliau dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang di”photoshop” kononnya sedang melihat bongkahan duit, sedangkan gambar asal mereka sedang melihat rekaan susun atur tapak projek Taman Tugu, Kuala Lumpur.

“Itulah taktik kotor pihak pembangkang dan penyokong mereka untuk memburukkan saya dan Barisan Nasional, dan menimbulkan kemarahan rakyat kepada kita,” katanya.

 

Najib turut menempelak pembangkang kerana cuba menimbulkan panik kepada rakyat yang ingin menyokong BN apabila menyebarkan maklumat kononnya kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bakal naik kepada 9 peratus jika BN menang.

“Kita tidak bercadang untuk menaikkan kadar GST, akan terus kekalkan kadar GST pada tahap 6 peratus, terendah di ASEAN!,” katanya.

Beliau berkata pembangkang turut mengitar semula fitnah daripada PRU13 kononnya BN membawa ‘pengundi hantu’ iaitu warga Bangladesh selain memfitnah kain rentang yang ditulis dalam bahasa Telugu tetapi dikatakan bahasa Bangladesh.

Ini, katanya menunjukkan betapa ceteknya kesedaran pembangkang terhadap bahasa yang dituturkan rakyat di negara ini hinggakan mereka tidak mengenali bahasa Telugu iaitu bahasa kedua terbesar dalam kalangan kaum India di Malaysia selepas bahasa Tamil.

Najib berkata banyak lagi fitnah telah tersebar di alam maya sejak kebelakangan ini dengan semuanya berniat jahat untuk memburukkan BN bagi meraih undi daripada rakyat.

Beliau berkata fitnah-fitnah terkumpul PH dan penyokong mereka boleh dilihat di laman web rasmi BN.

Perdana menteri dalam pada itu menasihatkan rakyat Malaysia untuk menapis segala maklumat yang diterima pada musim pilihan raya ini.

“Janganlah mudah terpedaya dengan tipu helah dan permainan simpati pihak pembangkang.

“Mereka bukan memikirkan kepentingan rakyat, sebaliknya hanya memperjuangkan agenda peribadi. Kononnya nak selamatkan Malaysia tapi sebenarnya Malaysia yang perlu diselamatkan daripada mereka!” katanya.

Najib berkata pelbagai kejayaan yang diraih Malaysia dalam bidang ekonomi dan sosial adalah bukti kerajaan pimpinan BN telah meletakkan Malaysia di landasan tepat untuk terus memacu kejayaan negara pada masa akan datang.

“Jadi apabila tiba 9 Mei nanti, kita pilihlah kerajaan yang dapat menjamin kestabilan politik dalam masyarakat berbilang bangsa, mempunyai agenda pembangunan negara yang menyeluruh dan mantap yang akan dapat meningkatkan lagi tahap kehidupan rakyat,” katanya.

Sumber : Portal Media UMNO Online

#BersamaBN

#HebatkanNegaraku

#Muafakatkedah

Leave a comment