TRAGEDI PRU-12

RAKYAT KEDAH MASIH MERASAI KEPERITAN TRAGEDI PRU-12

Wawancara Eksklusif Portal Media UMNO bersama YAB Datuk Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah, Pengerusi BN Kedah mengenai kesinambungan politik Barisan Nasional negeri Kedah.

Berada di bawah pentadbiran Pakatan Harapan selama satu penggal selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12), sudah pasti meninggalkan kesan luka yang amat mendalam.

Walaupun luka telah sembuh, namun parutnya pasti ada. Dek kerana itulah, BN akhirnya berjaya kembali menjadi kerajaan negeri selepas PRU-13.

Kini, apabila PRU-14 semakin hampir, rakyat Kedah mula dimomok-momokkan kononnya pembangkang mempunyai harapan yang cerah untuk kembali ‘bertakhta’ di negeri Jelapang Padi ini.

Namun menurut Pengerusi BN negeri Kedah, Datuk Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah, mana mungkin rakyat Kedah membenarkan perkara ini terjadi kerana beliau percaya, rakyat Kedah sudah serik ditadbir pembangkang.

“Kita di Kedah sudah siap siaga dari awal selepas menang pada PRU-13 lagi. Selepas saya mengambil alih tampuk pimpinan negeri pada tahun 2016, persiapan terus dimantapkan kerana kita sedar akan berhadapan dengan pilihan raya pada bila-bila masa sahaja.

“Saya tidak nafikan ada yang meramalkan Kedah menghadapi situasi 50-50 tetapi itu adalah ramalan orang luar. Saya yakin, hasil dari pemantauan dan pertemuan yang dibuat, rakyat negeri ini tidak akan mengulangi kesilapan lampau kerana ia meninggalkan pengalaman jadi pembangkang memberi pengajaran kepada rakyat Kedah supaya lebih berhati-hati dan tidak mengulangi kesilapan PRU-12,” ujar beliau dalam wawancara khas bersama UMNO-Online baru-baru ini.

Bercerita berkaitan janji di dalam manifesto 2013 pula jelas Bashah, lebih kurang 95 peratus telah ditunaikan malah janji baru juga telah ditunaikan demi kepentingan rakyat.

“Ada beberapa perkara lagi yang belum kita laksanakan kerana ia memerlukan sentuhan bersama kerajaan persekutuan dan mungkin apa yang dirancang memerlukan masa yang lebih panjang tetapi secara keseluruhannya terutama untuk luar bandar telah kita tunaikan.

“Kita berusaha sebaik mungkin menunaikan janji lalu kerana kita sedar, bila tiba musim pilihan raya pasti ada janji baru yang akan dibuat maka janji lama perlu dilunaskan,” tegasnya.

Ketika ditanya berkaitan penambahan pengundi pula Beliau dengan yakin menjelaskan bahawa terdapat lebih kurang 150 ribu pengundi baru yang pertama kali mengundi dan jumlah ini menjadikan jumlah pengundi di Kedah secara keseluruhannya mencecah 1.2 juta orang.

Justeru jelas beliau, tanggungjawab sebagai Menteri Besar semakin berat apabila mahu memastikan ke semua pengundi ini tidak termakan hasutan pembangkang terutama di musim pilihan raya.

“Saya sudah lama berada dalam parti jadi saya tahu kerja pembangkang memang membangkang.. jika tidak kita tidak panggil mereka pembangkang. Mereka akan sentiasa mencari apa yang boleh untuk memesongkan pemikiran pengundi terutama bila dekat musim pilihan raya.

“Memang itu tugas mereka tetapi saya yakin rakyat Kedah tidak sebodoh seperti yang difikirkan pembangkang. Rakyat Kedah sudah pandai menilai mana yang baik dan buruk untuk menentukan masa depan negeri dan generasi akan datang.

“Apatah lagi mereka mempunyai pengalaman di perintah pembangkang jadi sudah pasti tuduhan yang dibuat oleh pembangkang tidak mudah mempengaruhi pengundi negeri ini,” jelasnya.

Sebagai seorang yang pernah menjadi mangsa fitnah, beliau sedar pembangkang mencari pelbagai helah termasuk menyerang individu asalkan niat mereka tercapai.

Justeru, beliau sentiasa berpesan kepada rakyat Kedah agar jangan melakukan kesilapan yang sama kerana ia bakal merugikan negeri ini sendiri.

“Saya selalu pesan, jangan ulangi kesilapan PRU-12. Tetapi keyakinan saya amat tinggi rakyat negeri ini akan sepakat. Jika dulu ada yang sebut wujudnya tsunami dari kaum Cina tetapi di Kedah saya dapat lihat mereka kini bersama-sama kaum India, Melayu dan Siam.

“Kita di Kedah perlu bersatu untuk membentuk masa depan yang lebih baik,” ulas beliau lagi.

Sumber – Portal Media UMNO

Leave a comment