Tuduhan Tidak Berasas Mengatakan BN Abaikan Pembangunan Di Kedah

Tuduhan bahawa Barisan Nasional (BN) meminggirkan pembangunan Kedah selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lagi memegang tampuk pentadbiran negara, disifatkan sebagai tuduhan liar yang tidak berasas.

Menteri Besar Kedah, YAB Datuk Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah berkata ini terbukti apabila lebih banyak kemajuan yang dibawa ke negeri ini sama ada di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mahupun bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Selepas Tun (Mahathir) tidak jadi Perdana Menteri, Tun Abdullah membangunkan NCIA (Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), malah di bawah Datuk Seri Najib, pelbagai pembangunan bernilai berbilion ringgit telah dibawa masuk ke Kedah.

“Ini adalah satu tuduhan liar, semata-mata untik memastikan pembangkang menang (dalam pilihan raya), mereka buat tuduhan tidak berasas kepada BN semata-mata untuk mengaburi penglihatan rakyat Kedah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Muafakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Belantik dan Program Inisiatif Melestari Pembangunan Komuniti (1MPAK) di Dewan Al-Hanna petang ini.

Ahmad Bashah berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dalam satu majlis di Serdang, Bandar Baharu, malam tadi, bahawa BN tidak membantu Kedah selepas ayahnya tidak lagi menjadi perdana menteri.

Menurutnya, dakwaan Mukhriz itu sebenarnya turut membuktikan bahawa Mukhriz sendirilah yang tidak menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sepanjang tempoh dua tahun setengah menjawat jawatan sebagai menteri besar Kedah sebelum ini.

“Ketika itu Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri…kalau dia (Mukhriz) kata BN tak bangunkan Kedah ertinya dia (Mukhriz) yang tidak buat kerja pada masa itu…sebab dia sebagai menteri besar selama dua tahun setengah.

“Selepas saya ambil alih, macam-macam pembangunan yang dirancang…pembangunan di Bukit Kayu Hitam, naik taraf lapangan terbang, naik taraf loji air, projek di Kulim Hi-Tech Park serta banyak lagi pembangunan di seluruh negeri…dakwaan dia (Mukhriz) bahawa Kedah tidak membangun adalah satu penafian…rakyat boleh melihat,” katanya.

– Portal Barisan Nasional

Leave a comment