Perasmian Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Kedah 2018M/1439H

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat ALLAH swt kerana dengan limpah kurnia dan izin nya kita dapat berhimpun pada malam yang mulia ini untuk sama-sama menyerikan dan menjayakan Majlis Perasmian Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Kedah 2018.

Saya yakin bahawa majlis yang diadakan ini akan memperkukuh dan menyemarakkan ukhuwah Islamiah. Saya berharap nilai ini akan terus dipupuk dan ditingkatkan ke arah membina ummah yang bersatu padu, dinamik dan progresif.

Kerajaan negeri komited memastikan penghayatan al-Quran menerusi pengajaran dan pembelajaran ilmu agama, terus subur di Kedah.

Pihak kerajaan sentiasa berusaha membantu sekolah agama dengan pelbagai inisiatif, termasuk melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAK), Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) dan Lembaga Maktab Mahmud.

Melalui Bajet 2018 Kedah yang saya bentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 12 November tahun lalu, kerajaan negeri memperuntukkan RM4 juta bagi menaik taraf Maktab Mahmud dan Maahad Tahfiz Sains Kedah, serta meneruskan pemberian dana pengurusan RM2,000 sebulan kepada 11 pondok bernaung bawah Yayasan Pembangunan Pondok 1Malaysia.

Sebanyak 20 lagi pondok dan 64 maahad tahfiz berdaftar dengan JHEAK menerima dana khas ‘one-off’ RM10,000.

Kerajaan negeri turut memperkenalkan Bantuan Rakyat Kedah (BARAKAH) Masjid dengan dana RM3 juta bagi memperkasakan fungsi masjid, termasuk boleh digunakan untuk kepentingan anak kariah.

Katanya, elaun bulanan imam juga dinaikkan daripada RM800 kepada RM1,200, elaun bilal daripada RM750 kepada RM900 dan elaun siak daripada RM475 kepada RM700.

Kemajuan dalam Islam menghendaki penyeimbangan antara kemajuan dunia dan kebahagiaan akhirat. Kejayaan umat Islam antara lain bergantung kepada kekuatan ilmu dan ekonomi di samping kekuatan rohani. Mereka yang mempunyai kesedaran beragama di samping kekayaan harta merupakan aset yang penting terhadap masyarakat dan negara Islam. Ini memandangkan mereka tentunya menjadi pembayar zakat dan pemberi sedekah jariah yang merupakan sumbangan bermakna kepada umat dan negara.

Dalam ajaran Islam kita dapat melihat bahawa kekuatan agama harus beriringan dengan kekuatan ekonomi. Sehubungan itu, meningkatkan amal soleh harus disertai dengan usaha membasmi kemiskinan. Rasulullah S.A.W.telah memberi amaran bahawa kemiskinan boleh menyebabkan seseorang itu jatuh kufur. Peringatan Baginda ini secara langsung mengisyaratkan kepada setiap muslim supaya membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan.

Secara asasnya, kemiskinan dari sudut ekonomi dilihat pada kedudukan material atau kebendaan yang dimiliki seseorang, manakala daripada kaca mata Islam, kemiskinan mencakupi sudut kebendaan dan sudut kerohanian seseorang mahupun masyarakat.

Dalam usaha untuk membanteras kemiskinan kebendaan, Islam menganjurkan penganutnya supaya bekerja kuat untuk memperoleh rezeki atau pendapatan yang halal. Ini akan membolehkan kita menunaikan kewajipan menyara keluarga dan tanggungan. Pendapatan yang diperoleh hasil daripada kerja yang dilakukan itu juga membolehkan kita melaksanakan kewajipan berzakat di samping memberikan sedekah, mewakafkan harta, dan memberikan hadiah sebagai satu cara untuk membersihkan rohani dan harta yang kita miliki.

Selain memerangi kemiskinan kebendaan, miskin kerohanian merupakan penyakit sosial yang lebih bahaya. Penekanan dalam membanteras kemiskinan rohani merupakan antara hikmah agama Islam diturunkan. Pada zaman Arab Jahiliah, masyarakatnya hidup bergelumang dengan maksiat akibat kemelaratan rohani. Justeru, Islam memandang berat ketinggian dan kekayaan rohani seseorang individu.

Dalam proses menjadi sebuah negara maju, usaha untuk membanteras kemiskinan sewajarnya mengambil kira kedua-dua aspek kemiskinan yang dimaksudkan, iaitu kemiskinan kebendaan dan kemiskinan rohani. Ini disebabkan kemiskinan akan mendatangkan banyak masalah terhadap proses pembangunan negara. Sehubungan itu, dalam kita terus mencatatkan kecemerlangan dalam pencapaian ekonomi, kerajaan akan terus berusaha memerangi kemiskinan rohani masyarakat. Dengan usaha ini, kita berharap kadar kes jenayah, gejala negatif dan sebagainya akan dapat dikurangkan dan seterusnya dapat dibasmi sepenuhnya.

Salah satu strategi memerangi dua bentuk kemiskinan ini ialah dengan menghidupkan serta mengembalikan semula peranan masjid dalam membangun komuniti Islam dalam setiap lapangan hidup. Sejarah membuktikan bahawa masjid menjadi titik tolak terbinanya peradaban Islam yang unggul pada kaca mata dunia sebagaimana yang pernah dirintis oleh Rasulullah S.A.W. dan para sahabat. Dengan kata lain, institusi masjid merupakan tonggak utama dan terpenting yang mendasari pembentukan masyarakat Islam yang unggul memandangkan masyarakat Islam tidak akan terbentuk secara kukuh dan rapi kecuali dengan komitmen mereka terhadap Islam. Keadaan ini tidak boleh diwujudkan sama sekali kecuali dengan cara memakmurkan masjid.

Justeru, Islam menganjurkan umatnya supaya memakmurkan masjid dengan mengunjungi dan melaksanakan pelbagai bentuk ibadat, seperti solat berjemaah, bertadarrus al-Quran, mengadakan kelas-kelas pengajian dan pelbagai aktiviti sosial dan kebajikan.

Jika diimbas kembali sirah Rasulullah, S.A.W. masjid digerakkan dan dihidupkan dengan tiga fungsi utama iaitu:

Pertama, masjid diimarahkan sebagai pusat ibadat, baik ibadat khusus mahupun umum.

Kedua, memanfaatkan masjid sebagai pusat pembinaan ummah dari aspek kerohanian, mental dan fizikal melalui pelbagai saluran dan kemudahan yang dimiliki, seperti perpustakaan, khutbah jumaat, pengajian agama, ceramah agama dan kursus motivasi yang amat diperlukan oleh ahli kariah.

Ketiga, memperkasa institusi masjid sebagai pusat pembentukan kesatuan ummah agar umat Islam dapat memartabatkan diri mereka sebagai umat yang terbaik dan menjadi contoh di kalangan masyarakat dunia.

Ketiga-tiga fungsi ini sewajarnya disemarakkan sehingga dapat diangkat sebagai tempat untuk memperteguh keimanan dan menggilap kerohanian agar umat Islam meletakkan seluruh kehidupan mereka kepada Allah selaras dengan tuntutan Islam yang sebenar.

Inilah komitmen dan tuntutan Islam yang sebenar untuk menjamin kesejahteraan duniawi dan ukhrawi. Semoga kita memperoleh natijah yang kita hajati dalam mengembangkan syiar Islam.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan kepada masyarakat Islam, agar fahami dan hayatilah secara mendalam bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang bakal diperdengarkan, supaya kita semua dapat mengambil manfaatnya untuk kebaikan kita bersama.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, marilah kita memohon keredhaan dari Allah SWT, agar kesan daripada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Kedah kali ini, menghasilkan Generasi Al-Quran yang diimpikan serta Negara menjadi lebih sejahtera, diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT, Insya-Allah.

Berlandaskan doa dan pengharapan tersebut, dengan lafaz yang mulia Bismillahirrahmanirrahim, sukacitanya saya merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Kedah Bagi Tahun 1439 Hijriah bersamaan Tahun 2018 Masihi.

Johan qari dan qariah akan mewakili Kedah ke Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan pada 1 hingga 7 April depan.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

#TilawahAlQuranPeringkatNegeriKedah
#MuafakatKedah

Leave a comment