Kerajaan BN Tidak Pernah Abaikan Langkawi

Program Sepetang YAB Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak Bersama Nelayan Langkawi dan Penyerahan Lampu Jalan.

Telah banyak inisiatif yang diberikan oleh pihak Kerajaan dengan mengambil kira keperluan masyarakat nelayan agar ianya mampu memberikan bantuan yang optimum kepada masyarakat nelayan demi memberi kesejahteraan kepada mereka.

Sebagai contoh, Program Elaun Sara Hidup nelayan bertujuan membantu golongan nelayan meringankan bebanan disebabkan kenaikan kos sara hidup di samping merupakan insentif kepada sektor perikanan supaya kekal berdaya maju.

Program Elaun Sara Hidup telah bermula pada Jun 2008 dengan kadar RM200 bagi seorang nelayan berdaftar yang diterima pada setiap bulan.

Mulai tahun 2015, kadar Elaun Sara Hidup nelayan dinaikkan kepada RM300 bagi nelayan zon A, manakala nelayan zon B dan C kepada RM250 sebulan.

Bagi tahun 2017, sebanyak RM3.05 juta telah diberikan kepada 868 penerima di Langkawi untuk pembayaran Elaun Sara Hidup dan LKIM telah memperuntukkan bajet yang sama pada tahun 2018 kepada nelayan yang menerima bantuan ini di Langkawi.

Nelayan di Langkawi juga telah menerima bayaran insentif pendaratan RM0.10/kg sebanyak RM172,546 bagi tahun 2017 dengan sejumlah RM2.81 juta telah dibayar semenjak tahun 2013.

Bagi memberi keselesaan kepada keluarga nelayan, LKIM telah meluluskan sebanyak RM3.87 juta kepada 335 orang nelayan seluruh Langkawi bagi bantuan baikpulih rumah nelayan dan bantuan bina baharu rumah nelayan semenjak tahun 2013.

Dari tahun 2014 sehingga semasa, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM33.26 juta untuk pembangunan dan kemudahan nelayan di Langkawi.

Ini termasuk pembinaan Jeti LKIM Nelayan Chenang, pembinaan penghadang ombak di Kuala Teriang, membaiki rumah-rumah nelayan, pembinaan jeti nelayan Kilim, menaiktaraf Kompleks LKIM Penarak dan banyak lagi.

Bagi Bajet 2018 pula, Kerajaan telah memberi peruntukan paling besar kepada pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak dan penoreh getah, berjumlah RM6.5 bilion dengan RM1.96 bilion untuk bantuan dan subsidi kepada golongan pesawah dan nelayan.

Manakala sebanyak RM50 juta lagi khas kepada FAMA dan LKIM dengan tujuan membolehkan pengguna membeli barang makanan pada harga berpatutan.

Bagi meringankan kos sara hidup rakyat, bermula pada tahun 2018, usaha LKIM untuk mewujudkan Stok Penimbal Ikan dapat dilaksanakan bagi menjamin bekalan ikan yang stabil pada masa-masa tertentu seperti musim tengkujuh dan lambakan.

Program ini secara tidak langsung dapat membantu rakyat dan memberikan harga yang berpatutan kepada nelayan. Setakat ini, 50 tan metrik ikan dalam stok penyimpanan ikan LKIM bagi menampung bekalan ikan di pasaran dan memastikan harga stabil.

Usaha yang dilaksanakan dan peruntukan yang disalurkan menunjukkan betapa Kerajaan peka dengan pengorbanan dan kesusahan yang dihadapi oleh nelayan dan menjadi aspirasi Kerajaan dalam membela dan mensejahterakan rakyat seluruhnya.

Bagi terus memberi semangat dan sokongan kepada para nelayan di Langkawi, pada petang ini, sukacita saya umumkan pembinaan jeti baharu di Kuala Teriang, Langkawi dengan peruntukan sebanyak 500 ribu ringgit. Pembinaan jeti ini akan memberi manfaat kepada 310 orang nelayan dengan 120 buah sampan.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga telah membuat permohonan kepada ICU pada tahun lalu, terdapat keperluan untuk membina pemecah ombak (wavebreaker) tambahan sepanjang 100 meter bagi mengukuhkan pemecah ombak sedia ada.

Sehubungan itu, Kerajaan telah bersetuju untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM3.2 juta bagi menyelesaikan masalah gangguan angin dan ombak kuat yang dialami oleh nelayan di kawasan tambatan bot nelayan jeti Chenang.

Pada hari ini juga, Projek Lampu Jalan Kampung akan dilancarkan di bawah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah bersama-sama Tenaga Nasional Berhad (TNB), selaku agen pelaksana projek, turut bersama-sama para nelayan untuk memberi pencahayaan dan membuat kawasan sekitar ini lebih terang.

Inisiatif yang dibangunkan dengan peruntukan Kerajaan sebanyak RM100 juta ini membolehkan penduduk menikmati manfaat.

Di Parlimen Langkawi ini sahaja, sebanyak 537 lampu jalan kampung telah mula dipasang pada bulan Mei 2017 dan siap sepenuhnya pada bulan 27 Oktober 2017. Ianya telah memberi manfaat kepada hampir 53,500 orang penduduk dari 107 buah kampung.

Alhamdulillah, di negeri Kedah, setelah terpasangnya 8,086 unit lampu jalan kampung, dengan kos pemasangan sebanyak RM6.12 juta di kesemua 15 kawasan  Parlimen, maka saya yakin, negeri Kedah kini semakin terang-benderang dilimpahi cahaya tanda harapan dan kejayaan kepada kita semua, InsyaAllah.

Didalam majlis bersama rakyat, YAB Perdana Menteri juga turut mengumumkan peruntukan RM1.3 bilion untuk menaik taraf keperluan awam di Pulau Langkawi meliputi :

• RM500 juta untuk pembesaran Hospital Langkawi
• RM135 juta untuk kuarters dan integrasi Daerah Langkawi
• RM30 juta Balai Bomba dan Kuarters Padang Mat Sirat
• RM50 juta naik taraf Jalan Persekutuan Bulatan Airport – Pulapol
• RM600 juta di bawah Rolling Plan ke-3, Rancangan Malaysia ke-11 untuk Projek  Pembinaan Off-River Storage Padang Mat Sirat bagi mengatasi masalah bekalan air di Langkawi.

InsyaAllah, bila kerja-kerja menaik taraf kemudahan awam ini siap sepenuhnya dapat meningkatkan lagi taraf kehidupan rakyat sekitar Pulau Langkawi.

#MuafakatKedah

Leave a comment