PRU14 : BN KEDAH KEKAL STATUS QUO BAGI AGIHAN KERUSI

Status quo pembahagian kerusi bagi kawasan ditandingi parti komponen BN Kedah setakat ini kekal dan tiada perancangan untuk mengubah status quo yang diguna pakai PRU13 lalu.

Sebagai Pengerusi BN Kedah, berharap status quo bagi kerusi Parlimen turut dikekalkan bagi kesinambungan gerak kerja yang kini siap siaga berdepan PRU14 yang akan diumum bila-bila masa.

“Setakat ini status quo kekal, belum bincang secara muktamad. Buat masa ini, modus operandi jentera kita bergerak seperti sebelum ini. Kawasan pun kekal namun bergantung pada perkembangan selanjutnya,” katanya, selepas mempengerusikan mesyuarat BN Kedah yang pertama bagi tahun 2018, semalam.

Menurut beliau, sekiranya berlaku perubahan di saat akhir, ia merupakan keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan yang dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Status quo PRU13 bagi kawasan parlimen adalah 12 kerusi ditandingi Umno manakala MCA (3). Bagi kerusi Dun, kerusi ditandingi Umno (28), MCA (4), MIC (2) dan Gerakan (2).

Pada PRU13 lalu, selepas calon MCA tewas di parlimen Alor Setar termasuk Dun Kota Darul Aman, sudah mula kedengaran akar umbi yang mahu calon pada PRU14 diisi calon Umno. Ini kerana kerusi berkenaan dianggap penting, selaku ibu negeri selain memiliki 65 peratus pengundi Melayu.

Kekalahan MCA di dua kerusi itu sejak tahun 2008 kepada calon PKR dan DAP seolah mencabar kredibiliti MCA, menyebabkan ada cadangan agar MCA menyerahkan kerusi itu untuk ditandingi Umno.

Sebagai balasan Umno hanya perlu menukar dua kerusi miliknya kepada MCA, untuk memastikan BN tidak lagi tewas di Alor Setar.

Tiga Dun bawah Parlimen Alor Setar adalah Dun Bakar Bata (disandang Ahmad Bashah), Dun Alor Mengkudu dimenangi Pas manakala Dun Kota Darul Aman (DAP).

Walaupun wujud desakan akar umbi yang memberikan pandangan berhubung pertukaran kawasan antara parti komponen, namun keputusan muktamad akan diputuskan di peringkat Pusat.

Jika mereka bagi pandangan, kita terima kerana mereka ada hak, namun kita perlu ambil kira pandangan semua rakan komponen.

Mengulas sama ada perkara itu dibawa sebagai agenda mesyuarat bagi memastikan kemenangan berpihak kepada calon BN, katanya, butiran perbincangan tidak akan diumum secara terbuka.

“Jika ada bincang pun, kita tak akan umumkan selagi tiada keputusan muktamad,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, jentera BN Kedah kini bersedia menyahut cabaran PRU14.

Kita sudah terima laporan terperinci daripada semua parti komponen yang tegaskan kesemuanya bersedia berdepan PRU14. Semua bahagian juga sudah bersedia sepenuhnya, termasuk 672 Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Menurutnya, terdapat 33 PDM di Kedah dipengerusikan oleh parti komponen, di mana timbalan pengerusinya dilantik kalangan wakil Umno. – Bernama

#BarisanNasional

#MuafakatKedah

Leave a comment