TUANKU SULTAN KEDAH DIKURNIA DK SELANGOR

Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menganugerahkan Darjah Kerabat (DK) Yang Amat Dihormati kepada Tuanku Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin ibni Sultan Badlishah. Istiadat penganugerahan Darjah Kebesaran Selangor berlangsung di Balai Singgahsana, Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Turut berangkat mengiringi Baginda di majlis berkenaan, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff dan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafuddin Badlishah serta Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

YAB Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Diraja Ahmad Bashah Md Hanipah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Y.Bhg Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya turut hadir dimajlis istiadat tersebut.

Baginda Sultan Sallehuddin mendahului senarai 103 penerima darjah dan bintang kebesaran Selangor sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-72 pada 11 Disember tahun lalu.

Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah ke-29 yang baharu pada 12 September 2017 bagi menggantikan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mangkat. Baginda diputerakan di Alor Setar pada 30 April 1942 adalah anakanda kesembilan Almarhum Sultan Badlishah iaitu Sultan Kedah hasil perkongsian hidup dengan Sultanah Asma Sultan Sulaiman, yang juga puteri Sultan Terengganu, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Baginda dibesarkan di Istana Anak Bukit dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah pada 15 Disember 2016.

DK adalah Darjah Kebesaran tertinggi di Selangor yang dizahirkan pada tahun 1961 yang menggabung seutas Kalung, Lencana Kalung, Bintang Darjah, Selepang dan Lencana Selepang dengan bilangan keseluruhan maksimum keahliannya seramai 25 orang.

Darjah kebesaran ini dikurniakan kepada kaum kerabat diraja di Malaysia selain raja negara lain sebagai tanda penghormatan dan persahabatan akrab dengan Sultan Selangor.

#MuafakatKedah

 

Leave a comment