Pastikan Skuad Lang Merah Kekal Mantap

Bagi memastikan Lang Merah mampu menjadi pencabar utama Liga Malaysia (Liga M) musim depan, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memperuntukkan RM30 juta berbanding RM27 juta, tahun ini.

Presiden KFA, Dato’ Seri DiRaja Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, daripada jumlah itu, hampir RM5 juta akan diperuntukkan untuk mendapatkan pemain import berkualiti yang diharap mampu menjadi tonggak pasukan.

“Peruntukan yang besar ini menunjukkan keseriusan KFA bagi mencabar kejuaraan utama musim depan setelah kita mendakap Piala FA dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah selain layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini.

“Kebanyakan peruntukan itu datangnya daripada penaja, terutama ECK Development Sdn.Bhd. yang bersetuju menyumbang RM18 juta demi pembangunan bola sepak negeri,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Kongres KFA ke-42 di Wisma Darul Aman.

Dalam kongres tersebut, kesemua perwakilan daripada 36 badan gabungan KFA yang menyertai kongres terbabit menyatakan persetujuan supaya Ahmad Bashah terus menerajui persatuan berkenaan.

Mengulas kenyataan Pengarah ECK Development Sdn. Bhd., Puan Seri Ginney Chew yang mahu sebarang polemik membabitkan kedudukan Presiden KFA ditamatkan segera sehingga sanggup menimbangkan semula penajaan sekiranya beliau meletak jawatan, Ahmad Bashah berkata, beliau berterima kasih dengan apa yang dinyatakan itu.

#SkuadLangMerahTerbangGagah2018
#MuafakatKedah

Leave a comment