KEDAH KOMITED LAHIRKAN USAHAWAN BERJAYA

Kerajaan Negeri komited mempelbagaikan program dan pendekatan terbaik dalam usaha menyediakan platform bagi pembangunan usahawan di negeri ini.

Segala perancangan dicatatkan bagi mewujudkan peluang saksama kepada sesiapa sahaja yang mempunyai iltizam mengubah masa depan diri dan pada masa sama memberi manfaat kepada orang sekeliling seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri Jelapang Padi.

Dalam menyalurkan bantuan secara terus kepada usahawan, banyak skim diwujudkan untuk tujuan tersebut bawah kawal selia agensi seperti Unit Pembangunan Usahawan Kedah (UPUK), Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

Meskipun sebahagian daripada program yang dijanakan berbentuk pemberian one-off, namun ia dapat dizahirkan secara konsisten demi memikirkan keperluan komuniti dari semasa ke semasa.

“Kerajaan negeri komited membantu usahawan pelbagai bidang termasuk industri kecil sederhana (IKS) negeri ini bagi meningkatkan kelangsungan usahawan bukan hanya di peringkat tempatan malah hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika membentangkan Bajet 2018 baru-baru ini di sini.

Beliau berkata, agensi tersebut berfungsi sebagai pemudah cara bagi usahawan mengenal pasti saluran bersesuaian mengikut cabang perusahaan masing-ma­sing termasuk program usahawan termasuk skim pinjaman perniagaan oleh pihak swasta dan bank komersial.

“Sebagai contoh, UPUK berperanan sebagai pusat pembangunan, penyelarasan dan rujukan utama usahawan di Kedah. Walaupun terdapat pelbagai program dan bantuan kepada peniaga disediakan kerajaan, namun akses kepada maklumat perniagaan ini merupakan salah satu cabaran yang dihadapi usahawan.

“UPUK diberikan tanggungjawab untuk membangunkan usahawan baharu melalui program bimbingan dan khidmat nasihat perniagaan yang disokong dengan bantuan kewangan yang bersesuaian. Untuk tujuan pembiayaan, skim mikro kredit sedia menawarkan pembiayaan perniagaan daripada RM5,000 sehingga RM50,000 bagi membantu usahawan”.

Menurutnya, agensi tersebut memberi kemudahan kepada usahawan dengan kadar faedah rendah sebanyak 3.5 peratus setahun, adalah diharapkan ia akan dapat membantu usahawan mikro memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.

“Bantuan ini akan dilaksanakan oleh UPUK dengan kerjasama institusi kewangan yang dilantik untuk menawarkan perkhidmatan kepada golongan peniaga baharu yang disasarkan termasuklah golongan belia, wanita, usahawan luar bandar dan usahawan daripada orang kurang upaya (OKU).

“Ini adalah antara akujanji yang dilaksanakan kerajaan ne­geri untuk kesejahteraan rakyat melalui pembangunan ekonomi rakyat dengan setiap perkemba­ngan usahawan mendapat bimbingan dan pemantau unit berkenaan secara berterusan”.

Sumber : Utusan

#UsahawanTaniKedah
#MuafakatKedah

Leave a comment