Perutusan Maulidur Rasul 1439H / 2017M

PERUTUSAN
YAB DATO’ SERI DIRAJA AHMAD BASHAH MD HANIPAH
MENTERI BESAR KEDAH
SEMPENA MAULIDUR RASUL 1439H /2017M

Bismillahirrahmaanirrahim
Allahumma Solli Ala Nabiyyina Muhammad

Assalamulaikum warahmatullahi wa barakatuh
Salam Perpaduan, Salam Muafakat Kedah dan Salam Negaraku Malaysia

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat baginda seluruhnya. Marilah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana di atas rahmat-Nya pada tahun 2017 ini, kita dapat menyambut sambutan Maulidur-Rasul.

Sesungguhnya, jasa dan pengorbanan Rasulullah SAW begitu besar kepada kita umat Islam.Baginda bersama para Sahabat telah menanggung pelbagai kesusahan dan penderitaan dalam memartabatkan syiar dan syariat Islam serta membina ummah ini. Ummah bukanlah nama bagi satu kaum yang bermastautin di satu-satu tempat; bahkan apabila berjuta insan daripada kaum yang pelbagai, tinggal di kawasan yang berlainan. Apabila mereka hidup harmoni dan bersatu-padu, maka jadilah mereka sebagai satu ummah. Perasaan keumatan inilah asas sejati perpaduan, silaturahim dan ukhuwah Islamiah. Manakala perpaduan pula adalah teras kekuatan dan kemuliaan umat ini.

Justeru, amatlah penting kita hayati perpaduan ini dan terjemahkan ia dalam bentuk kesatuan kasih sayang dan tindakan praktikal. Bermula dengan unit asas seperti keluarga, kejiranan hatta ke peringkat negara malah antarabangsa.
Kita meyakini bahawa di dalam Sunnah Rasulullah SAW pasti ada petunjuk Rabbani yang membawa kemuliaan. Dan, membina perpaduan merupakan antara Sunnah terpenting yang telah diwariskan oleh baginda kepada kita semua.

Atas asas ini, kita sentiasa istiqamah dan berusaha untuk memakmurkan negara tercinta ini. Transformasi menuju negara Islam yang maju dan berpendapatan tinggi dengan wasatiyyah bersendikan Maqaasid Syariah sebagai prinsip pentadbirannya, serta Ahlu Sunnah wal Jamaah sebagai pegangannya akan terus menjadi keutamaan kita.

Semoga dengan barakah Maulidur-Rasul dan komitmen perpaduan kita, Allah akan menjadikan Kedah, sebuah negari yang menepati ciri-ciri seperti yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah Saba’ ayat 15 yang bermaksud :
“negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang Maha Pengampun.”

Bertepatan dengan tema Maulidur Rasul pada tahun ini, “Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara”, maka, makna perpaduan ini adalah sangat penting sebagai penghayatan yang dapat diterjemahkan dalam bentuk kesatuan yang dimulakan dengan pembinaan asas dalam institusi kekeluargaan sehingga dapat menyemai semangat patriotisme di dalam diri.

Semoga dengan sambutan Maulidur Rasul dan komitmen perpaduan kita, Allah SWT sentiasa merahmati dan memberkati usaha murni kita semua. Salam Maulidur Rasul 1439H/2017M.

Sekian,
Wassalamualikum warahmatullahi wabarakatuh.

YAB DATO’ SERI DIRAJA AHMAD BASHAH MD HANIPAH
MENTERI BESAR KEDAH

#SambutanMaulidurRasul
#MuafakatKedah

Leave a comment