Prestasi Kewangan Kedah Memuaskan

ALOR SETAR – Laporan Ketua Audit Negara tahun 2016 Siri 2 mengesahkan prestasi kewangan Kerajaan Negeri Kedah memuaskan berbanding tahun 2015.

Menurut laporan itu menyatakan baki kumpulan wang disatukan menunjukkan peningkatan sejumlah RM27.28 juta atau 62.8 peratus kepada RM70.69 juta berbanding RM43.41 juta pada tahun 2015.

“Akaun hasil disatukan mencatatkan defisit tahun semasa berjumlah RM59.28 juta kerana hasil diterima berjumlah RM601.63 juta tidak dapat menampung perbelanjaan berjumlah RM660.91 juta.

“Baki defisit terkumpul Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM497.93 juta pada tahun 2015 meningkat sejumlah RM59.28 juta atau 11.9 peratus menjadi RM557.21 juta pada tahun 2016 manakala, Baki Akaun Belum Terima juga menunjukkan peningkatan sejumlah RM34.81 juta kepada RM214.38 juta.

“Bagaimanapun, Baki Pinjaman Boleh Dituntut menunjukkan penurunan sejumlah RM19.83 juta kepada RM294.49 juta manakala tunggakan bayaran balik pinjaman agensi sejumlah RM73.78 juta malah Baki Hutang Awam kerajaan negeri masih tinggi iaitu berjumlah RM2.39 bilion,” menurut laporan itu.

Laporan itu turut menyarankan Kedah mempertingkat dan memperkukuhkan lagi prestasi kewangan supaya sumber pendapatan yang diperoleh dapat menampung perbelanjaan mengurus semasa.

“Hasil daripada pelbagai sumber termasuk hasil bumi, pertanian, perindustrian dan perkhidmatan perlu dikenal pasti dan ditambah baik manakala kutipan hasil kerajaan negeri perlu dipertingkatkan dengan pelaksanaan sistem kutipan dan penguatkuasaan yang berkesan.

“Kerajaan negeri juga perlu melakukan tindakan yang lebih gigih bagi memastikan tunggakan hasil dikutip dengan segera dan pinjaman dibayar oleh agensi negeri mengikut jadual yang ditetapkan,” menurut laporan itu.

Kerajaan negeri juga disaran mengekalkan perbelanjaan secara berhemat tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan dan pembangunan Kedah.

“Tadbir Urus Tabung Akaun Amanah perlu dipertingkatkan dan perbelanjaan wang amanah perlu sejajar dengan objektif utama penubuhan tabung berkenaan,” menurut laporan itu.

#MuafakatKedah

Leave a comment