Istiadat Pemasyuran Raja Muda Kedah ke-20

ALOR SETAR – Anakanda Sultan Kedah, DYTM Datuk Seri Utama Tengku Sarafuddin Badlishah ibni Sultan Sallehuddin, hari ini dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah yang ke-20.

Pemasyhuran disempurnakan di hadapan Sultan Kedah, KDYMM Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, sempena istiadat yang berlangsung di Istana Anak Bukit, di sini.

Terdahulu, pemasyhuran pelantikan Tengku Sarafuddin Badlishah dibacakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Y.Bhg Datuk Bakar Din, diikuti lafaz sumpah dan menandatangani watikah sumpah Raja Muda Kedah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hashim Hamzah dan Ketua Hakim Syarie Kedah, Y.Bhg Datuk Syeikh Abd Rahman Abdullah, menandatangani Watikah Sumpah Raja Muda Kedah sebagai saksi.

Ia kemudian disusuli pengurniaan Keris Kebesaran kepada Tengku Datuk Seri Utama Sarafudin Badlishah oleh Sultan Sallehuddin. Kemudiannya, nobat dipalu dan sembilan das tembakan meriam diadakan.

Sempena istiadat sama, turut diadakan pengisytiharan pelantikan Tunku Laksamana Kedah, YTM Datuk Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

Yang turut berangkat pada istiadat itu, Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah turut hadir ke Majlis istiadat Pemasyuran Raja Muda Kedah.

Tengku Sarafuddin Badlishah dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah bagi menggantikan ayahandanya yang dilantik sebagai Sultan Kedah ke-29 menggantikan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mangkat pada September lalu.

Tengku Sarafuddin Badlishah, 50, ialah anakanda sulung Sultan Sallehuddin dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tunku Ariff.

Tengku Sarafuddin Badlishah mendirikan rumahtangga dengan Raja Puan Muda Kedah, Zaheeda Mohamad Ariff dan mempunyai dua cahaya mata.

Sempena istiadat itu, baginda juga berkenan menganugerahkan Darjah Utama Seri Mahawangsa Yang Amat Dihormati (DMK) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama kepada Tengku Sarafuddin Badlishah ibni Sultan Sallehuddin.

Tidak lama selepas itu, adinda Tengku Sarafuddin, Tunku Datuk Shazuddin Ariff ibni Sultan Sallehuddin, 47, diisytiharkan sebagai Tunku Laksamana Kedah yang baharu.

#DAULATTUANKU

#DIRGAHAYUBAGINDASULTANKEDAH

#MuafakatKedah

 

Leave a comment