BAJET 2018

TAJUK: MENERUS KEMAJUAN

MENZAHIR IMPIAN

Dibentangkan Oleh :

YANG AMAT BERHORMAT

DATO’ SERI DIRAJA

AHMAD BASHAH BIN MD. HANIPAH

MENTERI BESAR NEGERI KEDAH DARUL AMAN

12 November 2017

Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah

ASSALAM MUALAIKUM WARAHMATULLAH HIWABARAKATUH,

Salam Sejahtera,

Salam Negaraku Malaysia, dan

Salam Muafakat Kedah.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER

DAN AHLI-AHLI YANG BERHORMAT,

Alhamdulilah, bersyukur kita kehadrat Allah Subha Nahu WaTa’ Ala, kerana dengan izin dan kurniaNya, kita dapat berhimpun di pagi ini, untuk menzahirkan satu lagi tugas penting. Demi memastikan ‘Kemajuan Diteruskan, Impian Rakyat Dizahirkan’.

KEMANGKATAN RAJA BERJIWA RAKYAT

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Sebelum ucapan Bajet 2018 melangkah lebih jauh, izinkan saya merakamkan ucapan sembah takziah kepada Kerabat DiRaja Kedah.

Tanggal 11 September 2017, seluruh rakyat dikejutkan dengan berita kemangkatan Almarhum Tuanku Sultan Abdul Halim Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah, yang berada di singgahsana mahkota Kerajaan Negeri selama 59 tahun. Selain, dua kali menaiki takhta selaku Yang DiPertuan Agong.

Justeru itu, mewakili seluruh rakyat dan Ahli Yang Berhormat dalam dewan yang mulia ini, marilah bersama dalam sebuah keluarga besar Muafakat Kedah, kita munajatkan bacaan Al-Fatihah untuk Almarhum Tuanku. Al-Fatihah.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Seperti kata bidalan, ‘Yang Patah Pasti Kan Tumbuh, Dan Yang Hilang Akan Berganti’. Legasi Kesultanan Negeri Kedah dilanjutkan menerusi pemasyhuran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sallehudin Ibni Almarhum Sultan Badlishah selaku Sultan Kedah ke-29, tanggal 12 September 2017.

Dengan pemasyhuran ini, payung mahkota negeri kembali berseri. Demi memastikan Kedah yang aman, stabil dan harmoni dapat berterusan ketamadunannya. Daulat Tuanku!

Bagi meraikan Baginda Tuanku Berdua, pelbagai acara sempena pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah disusun oleh Kerajaan Negeri bagi menyambutnya secara gilang-gemilang pada tahun hadapan.

LANG MERAH TETAP GAH

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Tahun 2017 juga, antara tahun kegemilangan untuk seluruh peminat bola sepak tempatan hasil pencapaian Pasukan Lang Merah dan pasukan di bawah kendalian KFA. Kejayaan demi kejayaan dikecapi dengan mengungguli antaranya:

  1. Piala Sumbangsih;
  2. Piala FA;
  • Juara Liga Bola Sepak Rakyat dan Naib Juara bagi skuad wanita dalam Piala Tun Sharifah Rodziah;
  1. Layak ke separuh akhir Piala Presiden; dan
  2. Menjuarai Piala Belia serta berjaya melahirkan ramai ‘ubi muda’.

Testimoni kegemilangan diteruskan dengan layak ke Piala AFC, bagi edisi 2018. Sekaligus membuktikan sistem pengurusan, serta program pembangunan sukan yang direncanakan oleh persatuan dan kerajaan kini berada di atas landasan yang tepat.

Untuk makluman semua, ke arah memperkasa sistem pembangunan bakat yang lebih tersusun, Akademi Dato’ Ahmad Basri atau ADAB dengan kerjasama Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) mula digerakkan secara progresif.

Jurulatih dan pencari bakat mula menjelajah ke seluruh pelusuk kampung dan desa, mencari ‘ubi muda’, untuk diasuh serta digilap ke arah mencipta kecemerlangan.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Dewan pada pagi ini ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Pasukan Lang Merah atas perjuangan di pentas akhir Piala Malaysia dan pulang sebagai Naib Juara. Inilah semangat kita, ‘Ketika menang kami bangga, ketika kalah kami tetap setia’.

BAJET PERSEKUTUAN MEMAKMUR EKONOMI  NEGERI

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Pada 27 Oktober 2017 yang lalu, menerusi pengumuman Bajet Persekutuan 2018 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, selaku Perdana Menteri Malaysia, 2.1 juta rakyat Negeri Kedah turut menerima manfaat dalam pelbagai sektor terpilih.

Di antaranya, insentif khas RM 200 bagi pesawah selama 3 bulan sementara menunggu hasil tuaian, melibatkan seramai 69,087 pesawah di Negeri Kedah baik di dalam mahupun di luar kawasan MADA.

Imbuhan ini merupakan pelengkap kepada elaun musim tengkujuh untuk penoreh getah dan elaun sara hidup buat nelayan, sepertimana yang disalurkan sebelum ini.

Demikian juga bayaran one-off sebanyak RM 1,500 untuk Imam, Bilal, Siak, Guru Takmir dan Guru KAFA yang memberi manfaat kepada sejumlah 4,865 individu terlibat yang bertugas di negeri ini.

Selain itu, menerusi penubuhan Pusat Rawatan Kanser bernilai RM 500 juta di Sungai Petani, dapat mencambahkan fungsi negeri bagi meneroka aktiviti pelancongan berasaskan kesihatan.

Dalam masa yang sama penerusan skim BRIM sepertimana yang dimuktamadkan menerusi Bajet Persekutuan 2018 turut memberi faedah kepada 594,343 penerima dari Negeri Kedah.

Impaknya memberi sedikit kelegaan dalam usaha mengurangkan kos sara hidup yang merupakan antara fenomena yang melanda setiap negeri.

PUSAT PERTUMBUHAN BERIMPAK TINGGI

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER

Penghargaan turut wajar diberikan terhadap Kerajaan Pusat atas usaha menjadikan Bukit Kayu Hitam selaku Special Border Economic Zone (dengan izin).

Bersekali dengan status kawasan bebas cukai yang dapat membawa limpahan ekonomi, pelaburan dan aktiviti perdagangan bentuk baru di kawasan seluas 12,000 ekar.

Nilai pembangunan dan jangkaan pelaburan yang akan dijana selain dari kepesatan industri sedia ada dianggarkan berjumlah RM 60 billion serta berupaya menawarkan 50,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 15 tahun.

Pembangunan berimpak tinggi seperti ini dapat menyokong Kedah Science and Technology Park dengan permohonan kos pembinaan infrastruktur, bagi fasa permulaan berjumlahRM 452 juta, yang sudah pun menerima dana awal berjumlah RM 168.8 juta.

Kesan dari pembangunan menyeluruh projek ini berupaya membuka 24,000 peluang pekerjaan baru kepada rakyat Kedah menjelang tahun 2030.

KEYAKINAN PELABUR TERHADAP KERAJAAN NEGERI

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER

Ditinjau dari perspektif yang lebih luas, persekitaran pelaburan dan keyakinan pelabur terhadap kerajaan negeri juga kian tinggi. Insentif pelbagai, situasi politik yang stabil, kebolehdayaan tenaga buruh, khidmat birokrasi yang cekap antara faktor penyumbang.

Dari tahun 013-2016 sebagai contoh, First Solar di KHTP, telah meningkatkan nilai pelaburan sejumlah RM2.175 bilion. Angka ini diunjur bertambah bagi tahun 2017-2021 dengan pelaburan sejumlah RM3.0 bilion untuk siri 6, panel solar.

Demikian juga Infineon Technologies. Pada tahun 2016, syarikat ini telah menambah pelaburan sejumlah RM1.6 bilion. Bagi tahun 2018, difahamkan, satu jumlah tambahan untuk mengukuhkan asas operasi mereka akan dibuat.

Kekuatan sinergi pelaburan ini ditambah lagi dengan fungsi yang dijana oleh OSRAM, juga beroperasi di KHTP. Bagi tahun 2015 sahaja sejumlah RM1.6 bilion telah dilaburkan. Ini merupakan sebahagian dari pakej pelaburan sebenar dengan nilai RM 4.6 bilion secara keseluruhannya.

Kekuatan industri, dan kesan ekonomi gandaan turut dipasak melalui peranan INOKOM PLANT di KULIM. Sejak beroperasi mulai 2004, sejumlah RM570 juta sudah dilaburkan dengan memberi peluang kerja kepada seramai 2,190 orang.

Dalam tempoh 3 tahun mendatang, INOKOM berhasrat melebarkan lagi sayap operasi mereka dengan pelaburan tambahan berjumlah RM110 juta dengan penambahan bilangan kerja dari 2,190 orang kepada 2,800 orang.

RANGKA KERJA EKONOMI BARU

YANG BERHORMAT DTO’ PADUKA SPEAKER

Kesemua momentum aspek pelaburan, industri dan ekonomi berdaya tinggi akan terus diperkukuh melalui beberapa rangka kerja baru.

Di antaranya, pembangunan ICQS yang baru, hub logistik bersepadu, pembukaan pintu sempadan 24 jam dan penghapusan tol di Bukit Kayu Hitam adalah pemangkin yang mampu merancakkan industri pengangkutan darat dan menyokong kepesatan industrialisasi.

Selain memacu perdagangan, aliran keluar masuk tenaga manusia, modal dan kepakaran melangkaui sempadan negara.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER

Kesemua pakej yang digerakkan menyediakan persekitaran kondusif bagi kemasukan pelaburan bernilai tinggi apabila jaringan projek ikonik sebegini dihubungkan dengan Kedah Rubber City di Padang Terap. Dengan permohonan keseluruhan kos projek bagi Fasa 1 berjumlah RM 802 juta.

Dari jumlah tersebut sebanyak RM 417.57 juta peruntukan awal bagi tujuan pengambilan tanah dan penyediaan infra telah diluluskan.

Dengan pelaksanaan projek ini dianggarkan 15,000 peluang pekerjaan dapat diwujudkan.

Limpahan nikmat hasil pembangunan ini turut dikongsi bukan sahaja rakyat Negeri Kedah malahan kepada negeri yang berjiran terutamanya Negeri Perlis.

Pembangunan kawasan ini dikemudi oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri bersama dengan Plan Malaysia Kedah, pihak swasta serta agensi-agensi teknikal negeri dan pusat bagi memulakan proses awal pelaksanaannya.

HAB MAAHAD TAHFIZ NEGARA

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Kerajaan Negeri juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih di atas peruntukan RM 40 juta melalui Bajet Persekutuan 2018 bagi menaiktaraf sistem pendawaian serta prasarana Pondok dan Maahad Tahfiz yang ada di seluruh Negara.

Peruntukan ini dapat membantu Kerajaan Negeri, memperkukuhkan sistem pengajian Pondok dan Maahad Tahfiz yang merangkumi aspek pengurusan dan pembangunan dengan cadangan menambah satu lagi cawangan Maahad Tahfiz Sains Kedah yang kini beroperasi di Kulim.

Asas cadangan ini disegerakan mulai tahun hadapan dengan lokasi yang akan ditentukan kemudian, memandangkan sambutan yang baik terhadap Maahad Tahfiz berkenaan.

Dalam erti kata yang lain, hasil tindakan proaktif Kerajaan Negeri menerusi langkah pengurusan, pemantapan kurikulum serta kebajikan guru, ianya dapat menjulang usaha menjadikan Kedah selaku Hab Pengajian Pondok dan Maahad Tahfiz di Negara ini.

BAJET REALISTIK DAN TERKAWAL

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Apabila saya membentangkan Bajet 2017, buat pertama kali selaku Menteri Besar Kedah pada 13 November 2016 yang lalu, penekanan diberikan kepada soal bajet realistik dan terkawal.

Bertujuan memastikan keperluan pembangunan dirangka berasaskan kemampuan kewangan kerajaan. Selain, ditumpukanaspek kebajikan dan ekonomi rakyat.

Lantaran itu, keseluruhan peruntukan mengurus, pembangunan dan bekalan air yang berjumlah RM 1.25 bilion mampu berdaya tahan dan menepati keperluan sepanjang 2017, tanpa memerlukan bajet tambahan sepertimana rekod Bajet 2014, 2015 dan 2016.

Pendekatan ini mewajahkan tiga implikasi penting iaitu :

Pertama, keupayaan kerajaan untuk berbelanja mengikut keutamaan. Selain pengurusan dasar kewangan yang cekap.

Kedua, praktis pengurusan berhemah dengan memastikan sumber yang ada dioptimumkan sepenuhnya.

Ketiga, ‘value for money’ (dengan izin) dan kos efektif bagi setiap butiran perkara yang dibelanjakan.

STRATEGI BAJET 2018

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Kesinambungan Bajet Negeri 2017, rencana masa hadapan selain impak Bajet Persekutuan 2018 harus dipertalikan.

Rasionalnya, mendayakan Kedah agar terus progresif dan berupaya mendepani isu sosial, pembangunan dan ekonomi dalam jangka panjang.

Sehubungan dengan itu, bagi melebarkan jangkauan Bajet 2018 maka ianya dirangka dengan mengambil kira tiga strategi utama:

Pertama, meningkatkan keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat menerusi falsafah ‘Bajet mudah dilaksana, Manfaat dikongsi bersama’.

Kedua, merangsang serta mempelbagaikan asas ekonomi negeri sebagai persediaan menuju masa hadapan.

Ketiga, memastikan momentum pembangunan dan kemajuan yang seimbang serta berimpak tinggi ‘sustain and high yield development’ (dengan izin) dapat dicapai melalui langkah yang praktikal dan dasar yang ‘achievable’ (dengan izin).

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER

DAN AHLI-AHLI YANG BERHORMAT SEKALIAN,

Prinsipnya, Bajet Negeri Kedah 2018, tidak menjanjikan bulan dan bintang. Atau bernada populis semata-mata menagih undi.

Sebaliknya mencerminkan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Barisan Nasional meneruskan Tradisi Membela Rakyat, tanpa mengira musim atau masa.

Dalam pengertian yang mudah, Bajet 2018 adalah bajet realistik, berkeupayaan untuk dilaksanakan serta dirangka untuk semua.

Pendekatan ini menekankan agar kerajaan berbelanja mengikut kemampuan yang ada. Kedua, menumpu projek berimpak tinggi yang mempunyai kesan ekonomi gandaan yang meluas.

Ketiga, prihatin dengan pembelaan nasib golongan berpendapatan rendah.

Keempat, memastikan agihan saksama di kalangan masyarakat berbilang kaum, dengan keutamaan diberi pada yang berhak bertujuan mewujudkan keadilan sosial sebenar.

INTIPATI BAJET 2018

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Sehubungan dengan maksud sepertimana dinyatakan sebelumnya, sukalah saya mencadangkan Bajet 2018 memperuntukkan sebanyak RM 855.22 juta bagi perbelanjaan mengurus.

Saya juga mohon mencadangkan daripada jumlah ini, sebanyak RM 172.04 juta diagihkan bagi caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan untuk tujuan menampung defisit pembangunan.

Dengan mengambilkira anggaran hasil dan perbelanjaan kerajaan, Bajet 2018 menganggarkan defisit sejumlah RM 75.72 juta atau 9.71%.

Unjuran defisit mencatatkan penurunan berbanding 10.28% pada tahun 2017 dan 14.95% pada tahun 2016.

Satu testimoni bahawa kerajaan ini berupaya menyediakan bajet yang realistik serta mampu dicapai berdasarkan kemampuan semasa.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Dibawah peruntukan mengurus, pecahan yang diperuntukan adalah seperti berikut :

  • RM 262.84 juta diperuntukan bagi pembayaran emolument;
  • RM 161.18 jutadiperuntukan bagi perkhidmatan dan bekalan;
  • RM 174.38 juta bagi pemberian dan kenaan bayaran tetap;
  • Manakala sebanyak RM 13.4 juta diperuntukan bagi perbelanjaan aset; dan
  • RM 5.1 juta bagi lain-lain perbelanjaan.

Anggaran perbelanjaan mengurus menunjukkan peningkatan sebanyak 5.55% berbanding tahun sebelum.

Peningkatan ini didorong kesan dari tambahan emolumen pelbagai jabatan melibatkan kenaikan gaji tahunan, pengisian jawatan kosong, elaun lebih masa dan faedah kewangan tahunan bagi staf tetap dan kontrak. Selain kenaikan kos penyenggaraan dan utiliti bangunan-bangunan kerajaan.

Saya juga mohon mencadangkan sejumlah RM 257.54 juta bagi perbelanjaan pembangunan untuk tahun 2018. Manakala bagi projek pembangunan bekalan air pula diperuntukan sebanyak RM 274.66 juta menggunakan peruntukan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan.

INFRASTRUKTUR  DEMI MENINGKATKAN KESEJAHTERAAN RAKYAT

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Bagi melonjakkan ekonomi negeri ini, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM 94.14 juta bagi menyediakan infrastruktur yang baru dan menaiktaraf infrastruktur sedia ada.

Untuk tujuan tersebut Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM 20.6 juta bagi melaksanakan projek jalan negeri.

Di antaranya, menaiktaraf Jalan Kota Sarang Semut ke Pekan Pendang, menggantikan dua jambatan sedia ada di Jalan Datuk Kumbar / Titi Haji Idris.

Menaiktaraf Jalan Gangsa serta Jalan Suka Menanti, menggantikan jambatan sedia ada di Pekan Kuala Pegang dan menggantikan jambatan sempit di Sungai Berok Kampung Gajah Puteh.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM 18.01 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan jalan dan jambatan di seluruh negeri Kedah antaranya menaiktaraf Jalan Charuk Nau, melebar Jalan Pokok Sena / Naka, melebar selekoh jalan di Jalan Napoh, menaiktaraf dan melebar Jalan Aliran serta melebar Jalan Pendang / Jenun.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Tumpuan juga diberikan kepada usaha untuk menangani masalah banjir akibat daripada sistem saliran yang tidak sempurna atau banjir yang berpunca daripada ketidakupayaan sungai dan parit utama menampung aliran air hujan.

Untuk tujuan tersebut, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM 10.23 juta bagi program tebatan banjir, program pemulihan kerosakan akibat banjir, program pemeliharaan muara sungai, program mencegah hakisan pantai serta pemodenan peralatan mekanikal dan elektrikal skim pengairan saliran dan tebatan banjir.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Dalam merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri menyediakan projek perumahan rakyat, dengan ini sebanyak RM 13 juta diperuntukan bagi tujuan pengambilan balik tanah di Daerah Kota Setar.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Bagi tujuan meningkatkan taraf sistem pengairan dan saliran di 62 buah skim pengairan padi di luar kawasan MADA yang berkeluasan 15,000 hektar, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM 2.65 juta.

Di samping itu juga, Kerajaan Negeri menyediakan sebanyak RM2.37 juta bagi program pembangunan sistem pengairan dan saliran luar skim, menjadikan keseluruhan peruntukan Kerajaan Negeri bagi menaiktaraf infrastruktur kepada golongan pesawah yang akan menikmati faedah ini adalah berjumlah RM 5.02 juta.

Ini merupakan langkah konsisten ke arah mempertahankan status negeri selaku Jelapang Padi yang membekalkan 37% bekalan beras negara.

BEKALAN AIR

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER

Kerajaan Negeri amat berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah meluluskan lima projek baru bekalan air luar bandar melalui peruntukan pinjaman.

Matlamat perlaksanaan projek-projek ini adalah untuk menyediakan kemudahan infrastruktur bekalan air terawat yang mencukupi, selamat dan bersih kepada penduduk Negeri Kedah, terutama di kawasan luar bandar. Di antara projek terlibat meliputi :

  1. Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Air Pelubang
  2. Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Air Jenun Baru
  • Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Air Bukit Selambau
  1. Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Air Sungai Limau
  2. Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Air Lubuk Buntar Lama

 

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Menerusi usaha menaiktaraf loji sedia ada, penggantian paip secara berkala, kecekapan pengurusan agihan bekalan, tindakan tangkas melayani aduan pengguna, serta peningkatan produktiviti tenaga kerja, kita yakin, SADA selaku syarikat utiliti air negeri mampu merungkai isu berbangkit yang telah sekian lama dihadapi pengguna.

Penyiapan Loji Sungai Santap dengan kos pinjaman dari Kerajaan Persekutuan bernilai RM 60 juta, membekalkan 30 juta liter padu sehari, sebagai contoh dapat memuktamadkan penyelesaian isu bekalan air terawat ke kawasan Pokok Sena danPendang Utara.

Dengan ini, kapasiti pengeluaran air terawat yang terhasil dari loji rawatan Pelubang dan Bukit Pinang mampu memenuhi keperluan pengguna di Daerah Kota Setar secara khusus.

Kesannya, isu berpanjangan seperti tekanan air rendah, bekalan yang kurang mencukupi di kawasan ‘hujung bekalan’ seperti Kuala Kedah dapat menemui jalan penyelesaian yang lebih baik.

Dalam jangka panjang, ‘reserve margin’ (dengan izin) bagi sumber air mentah terawat negeri ini dapat dipertahankan bukan sahaja untuk keperluan harian, malah juga untuk pertanian.

Asas ini dikukuhkan melalui pelaksanaan projek Jeniang Transfer yang dianggarkan bernilai hampir RM 1 billion.

Selain itu, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turut menyumbang peruntukan sebanyak           RM 5.54 juta bagi projek bekalan air luar bandar retikulasi Negeri Kedah pada tahun 2017.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Sukalah saya memaklumkan langkah terbaru Kerajaan Negeri dan pihak SADA mengembalikan peranan Pejabat Pos selaku agen kutipan bil mulai 19 Oktober 2017, setelah fungsi ini ditamatkan oleh kerajaan terdahulu tanggal 1 Mac 2011.

Dengan kemudahan pembayaran di Pejabat Pos, pengurusan kos ke atas bil pengguna dapat dijimatkan oleh SADA sejumlah RM 390 ribu sebulan.

SADA hanya perlu membayar komisen kepada POS Malaysia sebanyak RM 90 ribu sebulan untuk mengendalikan pembayaran lebih 100,000 akaun pengguna atau mewakili 20% dari keseluruhan 579,000 akaun pelanggan SADA.

Akses ini memberi kemudahan pembayaran kepada pengguna diluar bandar, menyediakan kemudahan pembayaran bil setempat selain meminimakan tunggakan bil.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Sebagai insentif untuk menggalakkan penjimatan penggunaan air bersih terawat dan meningkatkan kapasiti reserve margin di kolam takungan, maka sukalah saya mengumumkan langkah berikut:

‘Bermula Januari 2018, penggunaan 20 meter kiub ke bawah bagi pengguna domestik, diberikan secara percuma, dengan bayaran bil ditanggung sepenuhya oleh kerajaan negeri’.

Pemberian ini memberi manfaat kepada 221,000 akaun pengguna, dengan kos tanggungan kerajaan negeri untuk dibayar kepada SADA secara puratanya berjumlah RM 1.5 juta sebulan atau RM 18 juta setahun.

SUKAN SATU INDUSTRI

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER

DAN HADIRIN SEKALIAN,

Dalam usaha memberi nafas baru ke arah menjadikan sukan selaku kerjaya dan industri, maka beberapa langkah berikut disusun untuk mengukuh peranan sukan di masa hadapan.

Pertama, merangka mekanisme sesuai bagi membolehkan pembinaan stadium bola sepak baru menjadi kenyataan;

Kedua, menaiktaraf kompleks sukan yang sedia ada disetiap daerah selain dilengkapi kemudahan asas, bagi menyemarakkan budaya sukan dan usaha mencari bakat muda;

Ketiga, memberi tumpuan kepada aspek asuhan dan pencarian atlet pelapis dalam sukan yang berpotensi seperti badminton, squash, hoki, dan sepak takraw yang suatu ketika dahulu diungguli;

Keempat, menjadikan SUKDA sebagai sukan tahunan dengan tambahan acara bagi mengajak penglibatan anak muda berpotensi dari serata negeri; dan

Kelima, mensasarkan dalam tempoh 10 tahun, Kedah berupaya menjuarai temasya sukan dwi tahunan iaitu SUKMA melalui program yang sistematik dan komprehensif bermula dari peringkat akar umbi.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER DAN HADIRIN SEKELIAN,

Bagi merealisasikan strategi yang telah disusun, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM 10.88 juta untuk pembangunan sukan di Negeri Kedah. Ini termasuklah menaiktaraf Pejabat Majlis Sukan Negeri Kedah di Kompleks Hijau Kuning yang bernilai RM 3.3 juta.

Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga telah menerima peruntukan sebanyak RM 7.4 juta bagi pembinaan gelanggang squash di Stadium Sultan Abdul Halim Mua’adzam Shah di Suka Menanti. Proses pembinaannya bermula pada tahun hadapan.

PELANCONGAN SUMBER KEKAYAAN

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Selaku negeri yang mempunyai pelbagai khazanah untuk diteroka selain pakej menarik untuk dibangunkan, komitmen Kerajaan Persekutuan untuk meluluskan pembiayaan menaiktaraf Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dengan kos RM89 juta, disambut baik.

Dengan ini, jumlah penerbangan terus dari pelbagai destinasi dapat ditambah untuk menarik kemasukan pelancong dari 1.5 juta kepada 3 juta orang menerusi pengangkutan udara setiap tahun.

Langkawi perlu digarap bukan sekadar dari sudut bilangan pelancong semata mata. Akan tetapi harus memberi fokus untuk menarik pelancong yang lebih berkualiti, berbelanja lebih tinggi atau ‘high yield tourist’ (dengan izin).

Limpahan ini membolehkan lebih banyak potensi perkhidmatan pelancongan dan industri hiliran seperti kraftangan, inap desa, perkhidmatan pengangkutan, penyediaan sajian dan industri berkaitan dimajukan. Termasuklah memperkenalkan pakej mempromosi Langkawi selaku ‘Sekolah Pelayaran’ bertaraf dunia.

Dalam konteks ini tanggal 25 Oktober yang lalu, menerusi kerjasama Tokoh Pelayar Negara, Yang Berbahagia Dato’ Azahar Mansor, Kor Anak Langkawi atau ringkasnya KORAL telahpun dilancarkan.

Peluang dibuka, bagi penyertaan latihan secara percuma untuk anak tempatan bagi menceburi sukan perahu layar dan selok belok ilmu pelayaran serta pengetahuan maritim.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Melengkapi peranan Langkawi selaku destinasi pelancongan bertaraf dunia, kemajuan eko-pelancongan di tanah besar turut ditingkatkan.

Selain itu, pelancongan berasaskan warisan, sejarah, turut menjadi fokus untuk dijenamakan dan diberi publisiti meluas.

Hasil peruntukan RM 9.5 juta dari Kementerian Pelancongan, Dataran Medan Bandar kini giat dinaiktaraf dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2017.

Apabila Kompleks Pekan Rabu yang dibina semula menjalankan aktivitinya, maka kawasan pusat bandar akan membentuk satu ‘landmark’ (dengan izin) melalui jaringan yang cukup menarik dan dapat dikunjungi pelancong tempatan dan luar. Sekaligus merubah lanskap Bandaraya Alor Setar menjadi lebih pesona.

Selain itu, peruntukan RM 9 juta dari Jabatan Lanskap Negara bagi membina dan menyediakan lanskap menarik di sepanjang laluan Star Walk, turut menambahkan pilihan ‘venue’ (dengan izin) ke arah menjadikan ianya antara tumpuan pengunjung selepas ini.

Dalam masa yang sama, di Taman Tasik Bandar Darul Aman, Bina Darul Aman Berhad melalui anak syarikatnya sudah menyiapkan sebuah taman tema air bernilai RM 15 juta yang telah dibuka kepada orang ramai mulai 2 November lalu.

Ini menjadi satu lagi tarikan bagi aktiviti pelancongan untuk seisi keluarga sekaligus boleh menjadi antara produk untuk dipromosikan.

Lantaran itu, pakej Tahun Melawat Kedah 2018 dapat disokong dengan penambahbaikan kawasan tarikan pelancong sedia ada selain produk baru termasuklah Ekspo Pembangunan Kedah yang akan diadakan pada bulan Februari 2018.

Sebagai mendokong Bajet Persekutuan 2018, Kerajaan Negeri secara keseluruhannya menyuntik dana bagi sektor pelancongan dengan peruntukan berjumlah RM 8.65 juta.

KEBAJIKAN RAKYAT TERAS UTAMA

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Selaku kerajaan yang bertanggungjawab dalam membela rakyat tanpa mengira latar belakang kaum, aspek kebajikan amat dititik beratkan dalam usaha mencapai keseimbangan sosial.

Sejumlah RM 9.1 juta diperuntukan dalam Bajet 2018 yang merangkumi projek seperti berikut :

  • Projek-Projek Pembangunan Sosial;
  • Projek Pembangunan Masyarakat;
  • Projek Penempatan Penduduk; dan
  • Program Peningkatan dan Kemakmuran Rakyat

Ke arah mensejahtera dan langkah membangun hidup keluarga yang lebih kondusif, sejumlah RM 5 juta disalurkan bagi tujuan pembaikan rumah untuk golongan memerlukan.

Di samping itu, Kerajaan Negeri juga meneruskan pelbagai projek bagi memupuk keharmonian antara kaum. Di antaranya, menaiktaraf tempat-tempat ibadat dan program keraian antara kaum yang dengan peruntukan berjumlah RM 1 juta.

AGENDA PEDULI RAKYAT,

YANG BERHORMAT DATO PADUKA SPEAKER,

Kerajaan ini komited untuk terus mengutamakan kebajikan rakyat.

Aspirasi mereka kita julang, keperluan di tatang. Di bawah agenda peduli rakyat, sukalah saya menggariskan perincian insentif dan pemberian sepertimana berikut:

Pertama, bantuan am bagi penerima JKM dinaikkan dari RM 150 kepada RM 200. Ini sekaligus memberi faedah kepada 4,000 penerima terdiri dari golongan orang kelainan upaya, ibu tunggal, fakir miskin, dengan biaya keseluruhan RM 2.5 juta.

Kedua, bantuan segera bagi mangsa bencana seperti banjir dan bencana alam dinaikkan dari RM 100 kepada RM 200 bagi mangsa yang berdaftar dan berpindah ke pusat pemindahan.

Ketiga, Dana Warisan Pendidikan Anak Kedah, seramai 30,000 pelajar tahun 1 yang memasuki alam persekolahan bagi sesi 2018 di semua sekolah rendah negeri ini diberikan RM 100 setiap seorang dalam bentuk simpanan di SSPN-i. Ini menggalakkan mereka menabung dari kecil demi keperluan pendidikan di masa hadapan.

Keempat, pemberian saguhati kepada setiap jemaah haji dari Negeri Kedah dengan nilai RM 500 diteruskan pada musim haji tahun hadapan. Untuk rekod pada musim ini seramai 4,564 jemaah haji Kedah beroleh manfaat dengan biaya disalurkan berjumlah RM 2.282 juta.

Kelima, memperuntukkan sejumlah RM 2.6 juta sebagai bayaran one off kepada guru kampung dan Guru KAFA demi menghargai sumbangan bakti mereka.

Insentif diperuntukan kepada Guru KAFA dan Guru Kampung sebanyak RM 600 setiap orang dengan sebelumnya hanya menerima RM 450. Ini merupakan kenaikan sebanyak RM 150 bagi setiap guru terlibat.

PEMBANGUNAN POTENSI MODAL INSAN

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

 

Dalam Bajet 2018 ini juga, sejumlah RM 4 juta disalurkan bagi menaiktaraf Maktab Mahmud dan Maahad Tahfiz Sains Kedah.

Selain itu, Kerajaan Negeri meneruskan pemberian dana pengurusan bernilai RM 2,000 sebulan kepada 11 buah pondok yang bernaung di bawah Yaysan Pembangunan Pondok 1Malaysia.

Bagi 20 buah pondok dan 64 Maahad Tahfiz yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri Kedah, dana khas bersifat one-off diperuntukan. Setiap pondok dan Maahad Tahfiz menerima RM 10 ribu melibatkan biaya keseluruhan RM 840 ribu.

Di samping itu geran berdasarkan bilangan pelajar di Sekolah Agama Rakyat dengan jumlah RM 1.7 juta diteruskan selain sejumlah dana tambahan disediakan bagi pembelian kitab kepada seluruh pondok dan Maahad Tahfiz yang beroperasi di Negeri Kedah.

 

YANG BERHORMAT DATO PADUKA SPEAKER.

Dalam usaha menzahirkan generasi Ibaddurahman, para daei dan mursyid yang berkebolehan dan mampu menyumbang kepada pembangunan tamadun bangsa di masa hadapan, peruntukan yang telah sedia ada bukan sahaja dikekalkan.

Malah beberapa pakej insentif menarik turut disediakan sebagai lambang keprihatinan kerajaan negeri demi memastikan Syiar dan Syariat terus gemilang.

Sukalah saya mengumumkan diantaranya:

Pertama, penubuhan Sekolah Rendah Maktab Mahmud yang akan menjadi ‘feeder’ (dengan izin) kepada Maktab Mahmud peringkat menengah.

Kedua, penambahbaikan 40 Pusat Taska di Masjid dan Dewan serta 12 buah Pusat Nury bagi jagaan kanak-kanak di dewan dan bangunan kerajaan. Kesemua pusat ini di bawah seliaan Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Negeri Kedah.

Ketiga, penajaan penuh biasiswa, kepada 150 pelajar anak Kedah yang melanjutkan pengajian ke KUIN sesi depan.

Keempat, biaya biasiswa bagi Mahasiswa Anak Kedah yang sedang menuntut di Timur Tengah atau yang mendapat tawaran bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang agama.

Kelima, menyokong hasrat Lembaga Zakat Negeri Kedah untuk membina Kompleks Pendidikan Pondok Moden.

Keenam, perubahan ‘klausa’ pentadbiran dalam Lembaga Biasiswa Negeri Kedah bagi membolehkan ianya menerima sumbangan daripada semua sumber.

MASJID PUSAT KECEMERLANGAN MASYARAKAT

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Dalam sidang DUN yang baru lalu, saya telah menekankan tentang pentingnya fungsi masjid diperkasakan supaya kemurniaan program dakwahnya dan kebajikan anak kariah terpelihara.

Selaras dengan usaha untuk mengaktifkan fungsi masjid di seluruh negeri agar membelanjakan tabungan mereka demi manfaat anak kariah menerusi program kebajikan dan pembelaan masyarakat, sukalah saya mengumumkan pelaksanaan program Barakah Masjid dengan dana diperuntukan berjumlah RM 3 juta.

Peruntukan ini menjadi pemangkin agar Masjid tidak lagi bergerak dalam keadaan yang terasing, sehingga anak kariah dan ummah di kawasan sekitar yang memerlukan pembelaan diabaikan.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER

Selaras dengan usaha untuk membolehkan institusi masjid ditadbir urus dengan cekap.

Selain merangsang pegawai masjid untuk lebih fokus memainkan peranan mereka, sukalah saya mengumumkan beberapa tambahan insentif berikut, melibatkan kenaikan elaun pegawai masjid, di antaranya:

  • Elaun Imam dinaikkan dari RM 800 menjadi RM 1,200.00 seorang
  • Elaun Bilal, dari RM 750 kepada RM 900.00 seorang
  • Elaun Siak, dari RM 475 kepada RM 700.00 seorang

Jumlah kos terlibat bagi membiayai kenaikan elaun ini berjumlah RM 8.2 juta setahun

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Bagi memperluaskan lagi elemen kebajikan yang sepatutnya didokong oleh Jawatankuasa Masjid untuk manfaat anak kariah, sejumlah RM 3 juta turut diperuntukkan bagi seluruh masjid di Daerah Baling dan Sik selaku ‘projek rintis’.

Berperanan selaku Pusat Agihan Makanan kepada fakir miskin, asnaf dan golongan memerlukan.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Tambahan dari itu, sejumlah RM 1 juta pula disalurkan bagi beberapa buah masjid terpilih. Bertujuan mewujudkan Klinik Rawatan Percuma dengan dikawalselia oleh Kedah Medical Centre dan Kumpulan Perubatan Johor.

Selain itu, dalam memastikan golongan asnaf di Negeri Kedah terus mendapat pembelaan dan dibantu ekonomi mereka keluar dari belenggu kemiskinan, satu Kompleks Asnafdiwujudkan di tapak kampus KUIN Lama, Taman Wira dengan kos operasi berjumlah RM 20 juta.

Kompleks mula beroperasi pada bulan Januari 2018 dengan menempatkan pusat latihan, pusat pengumpulan produk jualan, klinik percuma, farmasi, pusat hemodialisis selain Pejabat Zakat Daerah Kota Setar.

Dalam hal ini juga, hasrat mewujudkan Pusat Latihan Imam Kebangsaan bagi melatih Imam-Iman berpotensi dari seluruh Negara akan dimuktamadkan penubuhannya bersama JAKIM dengan lokasi dikenalpasti di kawasan Parlimen Jerai.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Dalam usaha memperhebat fungsi masjid secara meluas, izinkan saya merakamkan setinggi rasa penghargaan terhadap Lembaga Zakat Negeri Kedah yang turut bersekali dengan Kerajaan Negeri dalam menjayakan agenda masjid sebagai pusat kecemerlangan masyarakat di negeri ini.

Untuk itu, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sejumlah RM 6.5 juta pada bajet kali ini bertujuan membina, menaiktaraf masjid serta surau di seluruh Negeri Kedah.

KELANGSUNGAN TEKNOLOGI MAKLUMAT

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPAKER,

Dalam proses melaksanakan pentadbiran secara moden dan elektronik Kerajaan Negeri akan melaksanakan program pembangunan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi dengan lebih serius.

Matlamatnya adalah untuk mempertingkatkan tahap kecekapan, keupayaan dan prestasi ICT di jabatan-jabatan kerajaan bagi memudahkan segala urusan berkaitan kerja meliputi pencapaian data dan perkongsian maklumat.

Maka, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak         RM 3.8 juta bagi tujuan pembangunan ICT di jabatan-jabatan Kerajaan Negeri dan kawasan sasaran pengguna.

PERTANIAN SATU PERNIAGAAN

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Pembangunan sektor pertanian adalah berpandukan kepada Dasar Agromakanan Negara 2011 hingga 2020 dan Dasar Komoditi Negara 2011 hingga 2020 yang bermatlamatkan pengeluaran makanan dan eksport komoditi industri.

Pelaksanaan Projek Pembangunan Industri Padi adalah selaras dengan arah haluan untuk mencapai Dasar Agromakanan Negara iaitu meningkatkan tahap sara diri daripada 72% kepada 86% serta meningkatkan penanaman padi.

Pelaksanaan Program Sawah Gemilang pada tahun 2011 sehingga 2016 telah menunjukkan prestasi yang meyakinkan di mana peningkatan hasil padi di projek-projek tersebut telah dapat ditingkatkan antara 500kg / hektar sehingga 2000kg / hektar.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Galakkan juga diberikan kepada industri buah-buahan, industri sayur-sayuran dan tanaman ladang, industri asas tani serta pembangunan tanaman industri dan komoditi berpotensi.

Secara keseluruhan bagi sektor pertanian, Kerajaan Negeri mengekalkan peruntukan sebanyak RM 6.47 juta dalam Bajet 2018.

Ke arah merancakkan lagi sektor pertanian Negeri Kedah, Kerajaan Negeri mewujudkan jaringan ‘Kedah Food Valley’ (dengan izin) di Daerah Pendang dan Sik.

Dengan pewujudan Kedah Food Valley, ia dapat memacu pertumbuhan industri makanan melalui integrasi, inovasi dan teknologi di sepanjang rantaian industri makanan yang berkualiti dan dijamin selamat di bawah persijilan Kedah Food Valley.

Malah bukan itu sahaja, melalui plan tindakan Kedah Food Valley, usaha sistematik turut digerakkan bagi tujuan berikut:

  1. Menaiktaraf pusat pengumpulan dan pengedaran bahan mentah dan produk siap;
  2. Program pemasaran Kedah Halal Festival (dengan izin), MIHAS dan himpunan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan;
  • Membangunkan program ‘agrofoodprenur’ (dengan isin) Kedah;
  1. Piawaian, promosi dan logo serta jenama Kedah Food Valley.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Selain dari itu, potensi dalam membangunkan industri penternakan di Negeri Kedah turut dikenalpasti.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan tambahan sebanyak 75% daripada peruntukan semasa menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM 8.4 juta bagi program menternak ayam itik, kemajuan padang ragut, industri ternakan ruminan, industri tenusu, industri asas tani dan industri aneka haiwan.

Dalam konteks memperkasa sektor ternakan tenusu negeri sebagai contoh, sejumlah RM 2.89 juta sudah dibelanjakan, bagi tujuan input bantuan, peralatan dan ternakan.

Seramai 60 orang penternak di bawah Kluster Tenusu Kedah terlibat dalam program ini dan impak pengeluaran susu telah meningkat sebanyak 12%. Dengan jangkaan pengeluaran 2 juta liter setahun menjelang 2020.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Usaha ini selaras dengan Bajet Persekutuan 2018, di mana peruntukan sebanyak RM 200 juta disediakan. Inisiatif sumber kekayaan baharu yang digerakkan meliputi penanaman jagung bijirin, kelapa, durian dan sektor kulinari tenusu dengan penubuhan Lembaga Tenusu dan Ruminan.

Oleh yang demikian, saya berharap Jabatan Pertanian dan Jabatan Veterinar dapat merebut dana peruntukan yang telah disediakan demi memajukan lagi sektor pertanian dan penternakan di Negeri Kedah.

PRESTASI  SEMASA

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Kitaran ekonomi dan cabaran semasa perlu ditangani sebaik mungkin. Alhamdulilah, setakat ini, pengurusan Kerajaan Negeri berada di landasan yang kukuh dengan dibantu pasukan pentadbiran negeri dan persekutuan.

Khidmat dan kesungguhan dalam memastikan dasar negeri dan soal pengurusan hasil disempurnakan sentiasa diberi keutamaan.

Kerajaan Negeri juga sentiasa menggalakkan setiap  jabatan kerajaan mengamalkan pengurusan kewangan secara berhemah berdasarkan prinsip ‘value for money’ (dengan izin) selain memantau prestasi perbelanjaan bagi memastikan kedudukan kewangan dalam keadaan yang terbaik.

WALA’ DAN INTEGRITI SISTEM PENYAMPAIAN

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Sikap Wala’, gengaman tanggungjawab yang luhur, kerja keras serta integriti yang kian tinggi di kalangan penjawat awam negeri amat terpuji.

Gabungan idea, curahan tenaga mereka, serta dedikasi dalam memastikan perancangan pembangunan diupaya banyak membantu pimpinan negeri untuk berterusan merangka agenda pembangunan rakyat.

Inilah kelebihan penjawat awam negeri kita. Mereka melakukan sesuatu berasaskan acuan dan keperluan setempat.

Saya harus menyatakan mereka inilah berperanan selaku ‘jantung’ pentadbiran kerajaan. Tanpa ‘enjin utama ini’, perjalanan pentadbiran negeri menjadi kaku dan layu lalu tidak bermaya.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Demi menghargai usaha dan tugas yang selama ini terpikul di bahu mereka, sukalah saya mengumumkan pemberian khas RM 2,000 kepada kakitangan awam negeri, melibatkan peruntukan berjumlah RM 14 juta.

Pembayaran dibuat dua kali yakni RM 1,000 pada Januari 2018, dan bayaran kali kedua sebelum menjelang Aidilfitri 2018.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Ditinjau dari perspektif yang lebih holistik, prestasi hasil negeri sehingga Oktober telah menunjukkan peningkatan berbanding Oktober tahun 2016 iaitu peningkatan sebanyak RM 13.5 juta atau 3.01%.

Untuk rekod, sehingga 26 Oktober 2017, jumlah hasil sebenar Kerajaan Negeri Kedah ialah RM 461.88 juta ataupun 62.86%.

Berbanding jumlah yang diunjurkan bagi tahun 2017 sebanyakRM 734.73 juta.

Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak              RM 373.38 juta bagi perbelanjaan mengurus dan sebanyak RM 108.12 juta pula telah dibelanjakan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan negeri.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Sepanjang penggal pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional, mulai 2013, tahun 2016 turut menyaksikan pencapaian terbaik bagi prestasi kutipan hasil sepanjang lima tahun pemerintahan.

Jumlah hasil negeri bertambah kepada RM 601.63 juta bagi tahun 2016 berbanding hanya RM 518.43 juta untuk tahun 2015.

Di dalam sidang dewan tahun yang lalu, kita hanya mencapai RM 448.36 juta atau 62.13% tetapi sehingga berakhirnya tahun kewangan 2016, prestasi hasil negeri telah meningkat ke angka RM 601.63 juta iaitu 83.37% daripada jumlah anggaran keseluruhan hasil negeri.

Angka ini berjaya diraih hasil usaha gigih jabatan-jabatan pemungut hasil yang sentiasa positif dan memberi sepenuh komitmen dalam usaha meningkatkan hasil negeri.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER

Selain itu terdapat beberapa petunjuk lain yang mengukuhkan asas pencapaian yang baik bagi ekonomi negeri. Di antaranya melibatkan KDNK pada kadar harga semasa.

Untuk tahun 2016 KDNK pada harga semasa adalah pada tahap RM 37,170 juta berbanding 2015 hanya berjumlah RM 36,008 juta.

Jumlah ini meningkat kepada RM 38,806 juta pada tahun ini dan unjuran sebanyak RM 40,441 juta bagi 2018.

ANGGARAN KUTIPAN HASIL 2018

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Anggaran perolehan hasil, keberkesanan sistem kutipan, prosedur operasi standard yang jelas, ketirisan yang diminimakan serta tanggungjawab penuh jujur dapatmenyumbangkan bagi peningkatan perolehan hasil negeri yang lebih cekap.

Bagi tahun 2018, Kerajaan Negeri menganggarkan kutipan hasil sebanyak RM 779.50 juta.

Daripada jumlah ini, hasil cukai menjadi penyumbang terbesar sebanyak RM 302.96 juta atau mewakili 38.87%

Hasil bukan cukai pula menyumbang sebanyak                 RM 252.59 juta atau mewakili 32.40%.

Di samping itu, terimaan bukan hasil pula dianggarkan sebanyak RM 223.94 juta atau mewakili 28.73%.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Secara keseluruhannya, anggaran perolehan hasil tahun 2018 menunjukkan peningkatan sebanyak 6.09%. Anggaran ini dilakukan dengan mengambilkira prestasi semasa kutipan hasil negeri dan langkah penguatkuasaan kutipan tunggakan hasil yang dirancang bagi tahun 2018.

Kerajaan Negeri juga memandang serius terhadap ketirisan hasil yang berlaku. Setiap jabatan pemungut hasil hendaklah memperkemaskan ‘standard of procedure’ (dengan izin) bagi meminimakan ketirisan hasil.

MENERUS KEMAJUAN, MENZAHIR IMPIAN

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Gambaran umum dari angka tunjuk prestasi ekonomi, prestasi hasil dan capaian KDNK Negeri dapat dilonjak ke tahap prestasi yang lebih baik.

Melalui kepelbagaian pelaburan yang kini sedang dalam ‘pipeline’ (dengan izin), termeterainya beberapa MOU signifikan, selain pelaksanaan projek ikonik berskala besar, momentum ekonomi dan daya saing negeri dapat dipertahankan untuk unjuran lima tahun mendatang.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Dalam masa yang sama, kemajuan ekonomi perlu diseimbangkan dengan pembangunan manusia dan modal insan berjiwa besar. Dalam konteks inilah, sepanjang 2017 dengan dimulai 2016, pelbagai program dan dasar sosial yang jelas telah digerakkan.

Program tersusun yang dekat dihati masyarakat sepertimana Barakah dengan lima pakej komponennya akan diteruskan bagi tahun 2018 dengan pakej tambahnilai yang lebih bersasar.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Data yang ada menunjukkan, bagi tahun 2016 dan 2017, RM 4.3 juta telah disalurkan melalui pemberian kotak makanan Barakah yang memanfaatkan 43,000 Ketua Isi Rumah.

Bagi program Barakah Insan yang melibatkan sumbangan kepada individu yang berjasa dan memberi khidmat kepada masyarakat akar umbi, sejumlah 14,400 individu meliputi bomoh patah, penggali kubur, bidan kampung, juru mandi mayat telah menerima manfaat dengan pembiayaan RM 4.8 juta sepanjang tahun 2017.

Demikian juga program pendidikan Tuisyen Barakah. Bermula dengan 600 pelajar, pada tahun 2017 ini angkanya meningkat menjadi 1200 pelajar dengan kos RM 360 ribu.

Mulai Januari 2018, skim tuisyen ini disasarkan dilaksanakan disetiap kawasan DUN Kedah melibatkan 2,000 pelajar dengan pembiayaan RM 500 ribu.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Kita menyedari aspirasi anak muda untuk meneroka peluang kerja dan berkhidmat di bumi sendiri, Kedah Darul Aman. Selaku kerajaan yang peka terhadap kelompok Gen-Y, skim IMAN kita perkenalkan mulai 2016.

Dengan kos RM 225 ribu, 25 pelatih IMAN 1.0 diberi latihan selama 6 bulan, dan 80% dari pelatih berkenaan kini menyambung khidmat dipelbagai sektor dan agensi hasil pendedahan yang diperolehi.

Untuk tahun ini, seramai 50 orang pelatih telah diberi tauliah bagi menjalani ‘internship’ (dengan izin) di 20 agensi, jabatan dan syarikat berkaitan negeri melibatkan pembiayaan RM 500 ribu.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER

Memandangkan, pendedahan diperolehi oleh mahasiswa anak Kedah ini cukup bermakna, dari segi keupayaan ‘soft skill’ (dengan izin), dan pengalaman pengurusan, maka bilangan pengambilan untuk pelatih skim ini ditingkatkan menjadi 70 orang pada tahun 2018. Kuota penyertaan peserta intern ini turut dibuka sebanyak 20% kepada mahasiswa dari kaum-kaum lain.

Ke arah menyemarakkan lagi konsep ‘team building’ (dengan izin), semangat kekitaan, serta pengalaman kepimpinan dalam organisasi, sukalah juga saya mengumumkan penubuhan Briged Sukarelawan Muafakat Kedah di setiap kawasan Parlimen, yang berperanan untuk terlibat dalam kerja amal dan kemasyarakatan secara konsisten.

Briged ini beracuankan budaya Kedah. Penyertaan briged ini dibuka kepada masyarakat berbilang kaum bagi merapatkan interaksi sosial. Selain menggalakkan aktiviti bersifat perpaduan.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Pelbagai program dan pendekatan merakyat yang lain turut dijana secara bersistem dengan memberi impak besar kepada pembangunan masyarakat.

Meskipun sebahagian dari program yang dijana bersifat pemberian one-off namun ianya dapat dizahirkan secara konsisten demi memikirkan keperluan komuniti dari masa ke semasa.

Untuk maksud tersebut beberapa skim seperti Insentif kemasukan Mahasiswa Anak Kedah ke IPTA, akan diteruskan.

Selain skim GENIUS yang melibatkan pemberian sumbangan kelengkapan persekolahan kepada 10,000 pelajar seluruh Negeri Kedah yang dilaksanakan awal tahun 2017, disambung untuk tahun 2018.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Selain itu, pemberian geran kepada Persatuan Mahasiswa Anak Negeri dan ganjaran one-off RM 1,000 turut disediakan bagi anak Kedah yang beroleh kepujian kelas pertama dalam pengajian Ijazah Pertama di IPTA dan IPTS tempatan.

Geran pengurusan Persatuan Belia Daerah, turut dikekalkan. Pakej ini ditambah dengan diwujudkan program ‘mentor mentee’ keusahawan bagi anak muda, selain di setiap medan selera dan premis niaga di bawah kawal selia PBT, kuota 30% diperuntukkan untuk anak muda beroleh lesen, permit serta ruang niaga.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Sistem sokongan modal melalui UPUK, ICU, AIM dan TEKUN yang beroleh dana kukuh dari pembentangan Bajet Persekutuan 2018 akan digembleng bagi membolehkan usahawan muda, kecil dan sederhana serta usahawan desa diberi latihan dan bimbingan yang wajar untuk terus kekal kompetetif.

Berdasarkan rekod, Kerajaan Negeri melalui UPUK telah menyediakan peruntukan sebanyak RM 5.5 juta untuk membantu usahawan mikro Negeri Kedah dan sehingga kini sebanyak RM 3.37 juta pinjaman telah diluluskan kepada 485 pemohon.

RM 6 juta pula disalurkan bagi membuka tapak perniagaan baru yang selesa pengguna, dan sejumlah    RM 2 juta diagih pada seluruh PBT untuk menaiktaraf prasarana bagi penjaja dan peniaga kecil setiap daerah.

RM 2 juta lagi disediakan pula untuk membangun pusat pemprosesan dan pembungkusan makanan bagi usahawan desa.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Kesemua langkah praktikal ini dikukuhkan menerusi Bajet Persekutuan 2018, sebagai contoh yang telah memperuntukkan sejumlah RM 200 juta sebagai tambahan kepada usahawan di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia Negeri Kedah seluruh Malaysia.

Dana modal yang memberi manfaat kepada 37,738 orang usahawan mikro yang majoritinya terdiri dari golongan wanita.

Sehingga kini, AIM Negeri Kedah telah mengeluarkan pinjaman sebanyak RM 2.7 billion dengan peratus bayaran balik sebanyak 99.5%.

Ini membuktikan bahawasanya wanita-wanita Kedah adalah tergolong dalam kalangan ‘good pay master’ (dengan izin).

Malah, usahawan yang dibantu menerusi skim AIM sudah ada yang mendaki puncak jaya dengan kekal kukuh sebagai usahawan dinamik dan beroleh pulangan lumayan dan ada yang bergelar jutawan.

Mereka berada bersama kita dalam dewan yang mulia pada hari ini iaitu :

  1. Puan Mashitoh binti Mansor, dari Changloon
  2. Puan Normalawati binti Kassim, dari Langkawi
  3. Puan Badariah binti Abdullah, dari Kampung Padang Lalang, Alor Setar.

Tahniah saya ucapkan. Semoga kejayaan ini menjadi contoh pada orang lain untuk terus memajukan diri, keluarga menerusi upaya serta kemahiran yang ada.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Kerajaan Negeri terus komited serta berhasrat untuk menyambung dasar-dasar pembangunan yang harmoni dan memberi impak meluas kepada masyarakat.

Dasar dan program berkenaan ditambah baik dari masa ke semasa. Misalnya pengekalan kadar cukai pintu yang tidak pernah dikaji semula sejak 1993.

Selain penghapusan bayaran lesen tahunan penjaja yang sudahpun berlangsung sejak 3 tahun lalu, diteruskan bagi tahun 2018.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Meskipun berlaku pengurangan hasil kesan dasar ini dan  menyebabkan kantung PBT mengecil, namun demi membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada masyarakat untuk terlibat dalam usahaniaga, maka dasar ini dipertahankan.

Bezanya, mekanisme ditambahbaik, setiap penjaja perlu mendaftar dengan PBT untuk kawalselia soal kebersihan, dan membantu dari segi pembangunan ‘database’ (dengan izin) supaya penjaja dapat diselerakkan di kawasan yang lebih luas dengan tidak terlalu bertumpu di sesuatu kawasan.

Dalam hal ini juga, sukalah saya mengumumkan pembukaan empat tapak khas bagi ‘food truck’ (dengan izin), dengan lokasinya di Jitra, Sungai Petani, Kulim dan Alor Setar untuk membuka ruang dan peluang bagi industri ‘street food’ (dengan izin) melebarkan sayap selaras dengan permintaan semasa.Bagi maksud ini juga skim bantuan suntikan modal perniagaan sejumlah RM1 juta disediakan.

ILTIZAM PASUKAN MUAFAKAT KEDAH

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Apa yang dibentangkan bukanlah janji manis sekadar meniti di bibir. Ianya adalah plan lengkap yang bertujuan memenuhi impian semua segmen komuniti yang ada di negeri ini.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Hakikatnya, selagi tanggungjawab terpikul di bahu ini, selagi itulah, saya beserta rakan-rakan EXCO dan seluruh Pasukan Muafakat Kedah bergerak seirama. Demi menjamin keperluan rakyat terbela.

Lantaran itulah, kerajaan ini, yakni Kerajaan Barisan Nasional cukup serius bagi terus mempersada Kedah dilandasan yang sebenarnya.

Kita bertekad agar, gerhana yang pernah dirasai rakyat Kedah selama lima tahun di bawah pemerintahan pakatan di sebelah sana, tidak berulang kembali. Cukup cukuplah sudah.

Dalam erti kata yang lain, sudah menjadi kewajipan kerajaan di sebelah sini untuk terus memastikan keadilan sosial ditegakkan. Pertumbuhan dan kekayaan negeri diagih dan disebarluaskan.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER

Menjadi visi dan matlamat kerajaan ini supaya kemajuan yang sedang terbina dapat diteruskan. Selain kestabilan dan kerukunan hidup yang telah berlangsung menerusi sentuhan pengurusan kerajaan sedia ada dikekalkan.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

Dengan penuh iltizam, sepanjang hampir dua tahun menerajui nakhoda Kerajaan Negeri Kedah saya telah berusaha membuat yang terbaik demi menyantuni aspirasi semua.

Alhamdulilah, berkat muafakat dan dokongan Pasukan Muafakat Kedah, negeri ini sedang bergerak menuju ke arah yang betul. Kita bekerja bukanlah bersandarkan aura atau glamour semata-mata.

Hakikatnya, Impian Rakyat Dipeduli, Tindakan Disusuli. Kita bekerja untuk memberi khidmat, bukan menghasut laksana langkah pengkhianat.

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

‘Track record’ (dengan izin) dan pengalaman serta bakti budi kerajaan ini tiada siapa boleh menafikannya. Dengan doa dari seluruh rakyat, niat yang kukuh di jiwa semua pemimpin dan wakil rakyat, marilah bersama, bernaung di dalam satu saf.

Kita bergerak bagi meneruskan legasi, mencetus realiti. sudah menjadi tanggungjawab kami, terus berbakti dan mempertahankan kerajaan ini, Kerajaan Barisan Nasional.

Pada akhirnya setelah memberi khidmat, kita pulangkan penilaian kepada rakyat. Dan kepada Allah jualah kita berserah, agar suratannya berakhir dengan takdir yang indah.

Kerana, yang mahu kerajaan ini lakukan, dan yang mahukerajaan ini realitikan hanyalah satu, Menerus Kemajuan, Menzahir Impian.

Demi manfaat seluruh insan. Tanpa mengira kaum, agama mahupun batas ideologi. Biar subur dan progresif bumi Darul Aman.

Kata pantun Melayu lama:

              Bakar Bata Damai Suasana,

              Anak Muda Tertawa Ria,

              Perjuangan Ini Menobat Bangsa,

              Memahat Tamadun Menjulang Nusa,

 

YANG BERHORMAT DATO’ PADUKA SPEAKER,

 

Sekianlah sahaja pembentangan ucapan Bajet 2018 dari saya, dan dengan rasa rendah diri Saya Mohon Mencadangkan.

SEKIAN, WABILLAH HIL TAUFIK WALHIDAYAH, WASSALAM MUALAIKUM WARAHMATULLAH HI WABARAKATUH.

Leave a comment