MUAFAKAT

PERUTUSAN KHAS MUAFAKAT KEDAH

Kerajaan Negeri Kedah memberikan penekanan terhadap tujuh teras utama yang mampu membangunkan negeri ini iaitu kemudahan infrastruktur, pembangunan, pendidikan, sosial, pertanian, penternakan dan pelancongan.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, tujuh teras utama itu diharap mampu melonjakkan Negeri Kedah sebagai sebuah negeri yang maju dan sejahtera.

Menurutnya, masih banyak lagi kemudahan prasarana yang perlu diberikan perhatian dalam usaha menjadikan Negeri Kedah sebagai salah sebuah negeri yang mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap untuk kesejahteraan rakyat.

“Kita tidak nafikan bahawa pembangunan yang dirancangkan oleh Kerajaan Negeri adalah untuk rakyat mengecapinya dengan penuh muafakat.
Apa yang penting, kita inginkan rakyat di negeri ini dapat hidup dalam suasana yang aman dan harmoni,” jelasnya pada program Himpunan Bulanan dan Perutusan Sempena Tahun Baru 2017 yang diadakan di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman.

Tambahnya, pada penghujung tahun 2016, dua peristiwa yang unik dan bersejarah telah berlaku di Negeri Kedah iaitu Keberangkatan Pulang Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah Kedah Ke Negeri Kedah Darul Aman serta Pemasyhuran Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah sebagai Raja Muda Kedah dengan penuh adat istiadat.

“Kita juga bertuah kerana Perdana Menteri Malaysia, YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sudi mengadakan lawatan ke Negeri Kedah Darul Aman sempena tahun baru ini. Lawatan itu secara tidak langsung mampu mengeratkan hubungan antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, ekonomi negeri juga dijangka berkembang sebanyak 4.2 peratus hingga 4.5 peratus pada tahun ini yang dijangka turut memberi kesan yang amat baik terhadap ekonomi Negeri Kedah.

Beliau menjelaskan, Bantuan Rakyat Kedah (BARAKAH) akan diteruskan semula pada tahun ini di mana seramai 23,000 penerima akan menerima bantuan one-off yang berupa makanan keperluan harian dengan peruntukan sebanyak RM2 juta.

“Bidang pendidikan juga turut diberikan perhatian dalam usaha melihat anak anak Kedah terus cemerlang melalui penganjuran Kem Smart Kasih 2017 yang menyasarkan penyertaan seramai 1,500 pelajar,” katanya.

Menurutnya, peruntukan sebanyak RM1.8 juta oleh Kerajaan Pusat turut disalurkan kepada sekolah agama dalam usaha meningkatkan kecemerlangan pendidikan di negeri ini.

“Kenaikan harga getah di pasaran juga turut melonjakkan pendapatan pekebun kecil getah terutama penoreh getah di negeri ini untuk menampung kos sara hidup mereka seharian,” ujarnya.

Leave a comment